Waspada sindiket penipuan bungkusan melalui internet - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan bungkusan yang semakin berleluasa melalui Internet.

PDRM dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini menjelaskan modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, e-mel dan laman sembang dalam tempoh satu hingga empat bulan.

Selepas persahabatan terjalin, anggota sindiket kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa bungkusan telah dihantar kepadanya sebagai barangan hadiah.

Bungkusan itu dikatakan mengandungi barang perhiasaan, wang, emas dan disusuli dengan kiriman resit penghantaran melalui e-mel kepada mangsa.

Menurut PDRM, mangsa kemudian akan dimaklumkan oleh sindiket bahawa bungkusan berkenaan ditahan oleh Kastam Malaysia.

“Mangsa diminta menjelaskan beberapa bayaran kepada Kastam dan syarikat ejen dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang akan diberikan oleh sindiket bagi tujuan menuntut bungkusan terbabit.

“Mangsa yang terpedaya hanya sedar ditipu selepas membuat beberapa bayaran sebagaimana yang diminta oleh sindiket tanpa mendapatkan bungkusan itu,” kata PDRM.

Justeru itu PDRM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan kenalan melalui Internet dan mengelak daripada menjadi mangsa kepada penipuan jenayah siber itu.

UTAMABERITAWaspada sindiket penipuan bungkusan melalui internet

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium