Kenapa Yayasan Kristian Sangat Bermurah Hati Biayai Badan Pemikir Anwar ? - pakdin.my

AIDCNews – 10/09/11 – Isu penerbitan buku-buku pro-murtad oleh badan pemikir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditaja Konrad Adenauer Stiftung (KAS) yang dibangkitkan oleh dua sahabat Ketua Umum PKR menimbulkan satu persoalan baru, iaitu kenapakah Yayasan Kristian Jerman itu sangat bermurah hati melakukan pelaburan dan perbelanjaan yang begitu besar untuk membiayai badan pemikir Anwar ?

Dr Yusri Mohamad, bekas Presiden ABIM mengkritik sikap lepas tangan Anwar yang tidak mahu dikaitkan dengan operasi Institut Kajian Dasar (IKD), manakala Ustaz Ismail Mina pula menemplak sikap Anwar yang berpura-pura tidak tahu menahu kewujudan Yayasan Kristian Jerman bernama KAS. Klik di sini

Anwar dalam jawapannya kepada Yusri bertegas beliau tidak tahu menahu dengan apa yang dilakukan oleh Khalid Jaafar, Pengarah IKD, namun menukar rentaknya dengan mengatakan Khalid Jaafar bekerja di bawah arahannya ketika disoal bertubi-tubi oleh Ustaz Ismail Mina.

“Khalid Jaafar ‘mati’ jika tidak ada Datuk Seri Anwar Ibrahim. IKD (juga) ‘mati’ jika (tidak ada Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Ini soalnya, soal polisi (IKD), good governence”, tegas Ustaz Ismail.

Dalam mempertahankan dirinya, Anwar seperti biasa menyalahkan pihak lain dan bukan dirinya. Dalam kes IKD, Anwar menyalahkan Khalid Jaafar, tetapi tidak pernah sesekali menyalahkan dirinya, walaupun pada hakikatnya beliau sendiri mengakui Pengarah IKD itu bekerja di bawah arahannya.

Namun yang pasti, Anwar tidak pernah menjawab berkenaan tajaan dana KAS, walaupun perkara itu turut dibangkitkan oleh Ustaz Ismail Mina dalam pertemuan tertutup itu.

Ustaz Ismail menegaskan usaha-usaha yang dilakukan oleh badan pemikir Anwar itu tidak menguntungkan Islam, sebaliknya mendorong kepada permurtadan di kalangan Muslim di negara ini.

“Jadi pada hemat saya, (ini) bukan pandangan MUAFAKAT,(tetapi pandangan peribadi saya yang mengatakan bahawa) IKD adalah ajen permurtadan dan pengkafiran”, katanya.

Dr Yusri juga turut membangkitkan perkara sama dengan mempersoalkan sikap Anwar terhadap kes permurtadan khususnya kes Lina Joy.

“Prinsip awak (Anwar) tentang Lina Joy, saya tak tahu, awak nak takwil macam mana… ada rekod dalam youtube.

“Kalau (isu) kalimah Allah, mungkin Dr. Muhamad Nur (Manuty) kata ada khilaf lagi… Tapi Lina Joy, awak nak kata, ada khilaf kat mana lagi ?”, katanya.

Sebelum ini, Ustaz Ismail dan Dr Yusri terlibat bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) menganjurkan wacana sehari di Masjid Wilayah Kuala Lumpur pada 14 Disember tahun lepas.

Wacana anjuran bersama JAKIM dan beberapa NGO Islam itu bertemakan Membanteras “Gerakan Pluralisme Agama dan Permutadan Ummah”.

Turut dibahas dalam wacana itu adalah satu ucapan kontroversi Anwar di LSE (London School of Economic) pada 18 Mac 2010, bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World”.

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady yang dipertanggungjawab membahaskan ucapan Anwar itu merumuskan sekurang-kurang terdapat 12 hujah intipati ucapan Ketua Umum PKRitu yang bercanggah dengan akidah Islam.

Apa yang dibahaskan dalam wacana ‘Membanteras Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah’tahun lalu, akhirnya menjadi kenyataan pada 3 Ogos 2011 apabila meletus insidenpemeriksaan Jabatan Agama Islam (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC)yang disyaki berusaha memurtad 12 Muslim dalam program anjuran gereja itu.

Hakikatnya, usaha-usaha pemurtadan ke atas 12 Muslim itu berlaku di negeri Selangor yang diperintah oleh kerajaan PKR dan berketuakan kepada Anwar Ibrahim.

Pada tahun 2005, isu Yayasan Kristian, KAS pernah dibangkitkan oleh Shahbudin Yahya, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINP).

Katanya, KAS dan IKD berusaha menggerakkan Interfaith Council (IFC) melalui program Projek Global Ethic di Pulau Pinang dengan menggunakan model Prof Dr Hans Kung.

Sebagai respon kepada isu yang dibangkitkan itu, wakil KAS di Malaysia, Peter Schier menjawabnya secara panjang lebar dalam wawancara eksklusif The Sun.

Wartawan The Sun, Jacqueline Ann Surin menyiarkan wawancara itu dalam dua siri. Pertama, bertajuk “Sharing universal values” disiarkan pada 30 November 2006 dan kedua, “Faith in humanity” disiarkan pada 09 Disember 2006.

Intipati jawapan Peter Schier dapat dirumuskan kepada tiga aspek iaitu persoalan tentang hubungannya dengan badan pemikir Anwar, Global Ethic dan Inter-Faith Commission (IFC).

KAS-IKD

Dalam wawancara itu, Peter Schier mengakui yayasannya menaja IKD sejak dari Anwar berada dalam kerajaan hingga di luar kerajaan.

“Ini adalah kumpulan pemikir Anwar Ibrahim, dan saya ingin tekankan bahawa kami telah mengadakan kerjasama dengan IKD semasa Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri.

“Tetapi, apabila beliau sudah tidak diingini dan disumbatkan ke dalam penjara, kami tidak berhajat untuk memutuskan hubungan dengan IKD kerana kami percaya sekiranya kerajaan mempunyai masalah dengan seorang ahli politik (Anwar), (maka) kami tidak perlu memutuskan hubungan dengan ahli politik tersebut”

Menurutnya, yayasannya akan memberi bantuan kepada mana-mana individu atau parti politik yang dapat melaksanakan prinsip-prinsip yang mahu dicapai oleh pihaknya.

“Saya ingin katakan, kami tidak menyokong (Parti) Keadilan (Rakyat) sebagai sebuah parti. Ya. Kami menyokong di atas prinsip.

“Kami, sebenarnya bekerja dengan parti politik yang berminat untuk bekerja dengan kami. Kami berdiri di atas prinsip, untuk prinsip politik, (tetapi) bukan untuk parti politik”

Katanya bantuan yang berterusan diberikan kepada badan pemikir Anwar kerana badan itu berusaha menganjurkan satu konsep ‘Islam baru’ yang dikenali sebagai Islam Tanwiri (Islam Pencerahan).

Islam Tanwiri adalah penjenamaan semula kepada Islam Liberal yang sengaja dikelirukan dengan pelbagai nama termasuk Islam Ranaissance.

“Sejak akhir-akhir ini, sejak saya tiba (ke Malaysia) pada 2002, mereka (IKD) lebih menganjurkan satu konsep Islam yang berfikiran terbuka.

“Khalid Jaafar, Pengarah IKD, menamakannya sebagai ‘kesedaran Islam’, Islam Tanwiri. Saya fikir ianya satu konsep yang sangat menarik kerana ianya menyokong pluralisme (agama). Jadi, kami menyokong perkara tersebut.

“Dan juga penerbitan, terutamanya terjemahan sastera Islam yang berorientasikan perubahan supaya (bangsa) Melayu dapat membaca buku-buku tersebut, sebagai contoh, seperti buku ini (mengambil sebuah buku Islam yang diterjemahkan & Dasar Pemerintahan) oleh Ali (Abdul) Raziq yang berkaitan dengan hubungan di antara agama dan politik, negara dan agama.

“Kami telah membiayai terjemahan ini yang berkaitan dengan kehidupan dan pepatah lamaConfucius ke dalam Bahasa Melayu supaya bangsa Melayu dapat membaca berkaitanConfucius.

“Mereka (IKD) juga mempunyai sebuah laman web, yang juga dibiayai oleh kami. Inti sari utama untuk menerbitkan buku-buku di dalam Bahasa Melayu supaya bangsa Melayu mampu untuk meluaskan pemahaman mereka terhadap budaya yang berbeza dan aliran alternatif budaya serta perkara-perkara agama.

“Kerana dunia kita mempunyai kepelbagaian, kita harus menerima pluralisme dalam politik dan juga di dalam agama. Kami menyokong pendekatan yang berkaitan dengan pluralisme ini”.

KAS- Global Ethic

Peter Schier mengakui melaksanakan Projek Global Ethic di Pulau Pinang yang merupakan kesinambungan ‘World Religions’, ‘Universal Peace’ dan ‘Global Ethic’ (Agama-Agama Dunia, Keamanan Sejagat dan Etika Global)


Global Ethic dan The Parliament of World’s Religion

Menurutnya ‘Global Ethic’ adalah prinsip-prinsip baik yang diterima oleh semua agama di dunia. Asasnya ‘menerima semua agama adalah benar’ dan ‘tidak ada agama yang lebih benar mengatasi agama lain’. Asas ini merupakan intipati utama pluralisme agama.

“Kami telah menyertakan kesemua kepercayaan yang ada di Malaysia. Terdapat sembilan kepercayaan kesemuanya, kerohanian penduduk asal, Hindu, Buddha, Yahudi, Islam, Sikh dan Kepercayaan Baha’i dalam menggambarkan secara lebih baik tentang kepelbagaian agama di Malaysia.

“Kami menyunting satu bab yang bertajuk “What is the Global Ethic” (Apakah etika Global) dalam usaha untuk menerangkan secara jelas bahawa Etika Global merupakan satu gabungan nilai moral dan standard etika yang dikongsi oleh semua sistem kepercayaan dan sistem agama.

“Ianya sudah pasti bukan satu konsep sekular. Kerana ianya mengakui kepentingan peranan agama dalam mengatur norma-norma etika yang baik dan menganjurkan moral dan etika yang baik dalam masyarakat.

“Tetapi, keindahan konsep Etika Global adalah kerana ianya juga boleh diterima oleh agnostik (golongan ateis), dan oleh orang yang tidak memeluk mana-mana agama”.

Katanya, KAS bukan bekerja ke arah anti-agama, kerana menurutnya yayasan itu sendiri merupakan badan pemikir kepada Parti Kesatuan Kristian Demokratik di Jerman.

Oleh yang demikian, katanya, semua agama harus dilayan secara adil di Malaysia. Tidak ada katogeri agama sesat atau menyeleweng, kerana semua agama dan kepercayaan adalah benar.

“Kerana mereka ini, boleh berpegang kepada nilai asas Etika Global yang bermaksud, ‘layan individu lain seperti mana anda mahu dilayan’- peraturan yang utama, anda akan dapati dalam setiap agama. Sangat mudah tetapi nilai yang sama amat penting dan dikongsi oleh semua budaya dan agama.

“Saya fikir ianya sangat jelas bahawa ini adalah asas, prinsip. Dan apabila kita melihat kepada petikan daripada kesemua agama yang berbeza, ianya telah dinyatakan berulang kali, bahawa peraturan utama, sebagai contoh, Hindu menyatakan, peraturan utama adalah intisari moral. Agama Yahudi mengatakan bahawa ianya merupakan undang-undang asas. Dalam Kristian, ianya menyatakan bahawa ini adalah undang-undang Tuhan dan juga ajaran nabi.

“Kami tidak bekerja menentang mana-mana agama. Sudah tentu tidak. Maksud saya, seperti yang anda maklum, Yayasan Konrad Adenauer rapat dengan Parti Kesatuan Kristian Demokratik (di Jerman). Bagaimana kami boleh menyokong sesuatu yang menentang agama itu sendiri? Tidak.

Menurutnya agenda utama melaksanakan program ini adalah membolehkan amalan ‘kebebasan beragama’ di praktikkan di Malaysia.

Katanya, jika penganut Buddha dan Hindu dibenarkan menjadi penganut Islam, maka keadilan yang sama perlu dibenarkan kepada penganut Islam yang ingin menukar agama kepada Kristian atau agama lain.

Katanya lagi inilah konsep kebebasan dan keadilan yang perlu dipraktikkan dalam amalan beragama.

“Kebebasan beragama adalah salah satu nilai sejagat yang asas yang termaktub dalam beberapa konvensyen antarabangsa.

“Jadi, pendirian kami adalah jelas. Seperti penganut Buddha yang dibenarkan untuk menjadi seorang penganut Kristian, seorang penganut Kristian juga perlu diizinkan untuk menjadi penganut Islam atau Hindu. Tetapi, lazimnya, sekiranya bukan Islam dibenarkan untuk menukar kepercayaan mereka, jadi umat Islam juga perlu dibenarkan untuk menukar kepercayaan mereka. Ini berkaitan dengan keadilan!

“Sekiranya anda memberikan satu kumpulan hak tersebut, jadi anda juga perlu memberikan hak tersebut kepada kumpulan lain. Sekiranya tidak, anda bertindak dengan tidak adil. Anda tidak mengamalkan keadilan. Inilah apa yang dimaksudkan dengan keadilan. Dan saya fikir keadilan adalah salah satu nilai umum yang utama yang juga dikongsi oleh semua agama”

KAS – IFC

Peter Schier juga mengaku terlibat dalam menggerakkan Inter-Faith Commission (IFC) atau Suruhanjaya Antara Agama di Malaysia.

Menurutnya, KAS sudah terlibat dalam penajaan IFC sejak dari awal lagi, namun dinasihatkan oleh beberapa pihak tertentu supaya tidak menonjol sebagai satu strategi untuk memikat golongan kumpulan Islam ‘aliran utama’.

Namun, apabila strategi itu juga gagal, maka KAS menonjolkan diri dan hadir dalam beberapa siri perbincangan yang mendraf konsep IFC.

“Kami telah menyokong usaha untuk merangka satu usul untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama sejak akhir 2003. Saya telah diminta untuk menyokong usaha ini pada peringkat awal tetapi sesetengah pihak meminta saya untuk tidak telibat kerana menurut mereka untuk tidak dicurigai oleh kumpulan Islam ‘aliran utama’.

“Saya tidak menyatakan dengan jelas pendirian yayasan ini untuk menyokong usaha ini.

“Pada peringkat seterusnya, buat pertama kalinya saya (dibenarkan menonjol), saya bercakap dengan kelompok orang yang agak ramai.. Saya telah menghadiri satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu di mana saya telah mengajukan banyak soalan.

“Dan selepas saya yakin bahawa pendekatan ini bukan eksklusif tetapi merangkumi semua, semua pihak dijemput untuk menyertai dan tiada sesiapa yang disingkirkan, saya memutuskan untuk menyokong usaha ini kerana saya percaya bahawa untuk mewujudkan satu Suruhanjaya Antara Agama dalam usaha untuk menggalakkan persefahaman yang lebih baik di antara agama berbeza.

“Dialog dan persidangan secara aman melalui institusi adalah lebih baik daripada konflik termasuk pergaduhan dengan pedang dan membunuh antara satu sama lain.

“Suruhanjaya Antara Agama, seperti yang telah dijelaskan dalam draf usul, hanya akan mempunyai fungsi penasihat, dan tidak akan mampu untuk menentukan perkara yang berkaitan murtad, atau isu sensitif yang lain. (Ianya ) tidak akan mempunyai kuasa membuat keputusan secara keseluruhan”.

UTAMAPOLITIKKenapa Yayasan Kristian Sangat Bermurah Hati Biayai Badan Pemikir Anwar ?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium