32 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 27, 2021

Adakalanya Kita Lupa, Leka Akan Peranan Tentera

Secara jujurnya, berapa ramaikah antara kita khususnya generasi muda yang berminat membaca artikel berkaitan dengan kisah dan pengorbanan perajurit dalam usaha menggapai kemerdekaan negara?

Namun realitinya terdapat segelintir pihak memandang sambil lewa pembacaan artikel berkenaan, kerana merasakan ia adalah sesuatu yang membosankan serta tiadanya penyisipan elemen hiburan.

Biarpun hanya membabitkan komuniti kecil, namun seharusnya pengorbanan perajurit dihayati semua golongan tanpa kira tua, muda, kanak-kanak apatah lagi tatkala menjelang hari kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Kalau diimbas, kemeriahan sambutan kemerdekaan tidak sekadar diisi dengan penceritaan pengorbanan perajurit menerusi medium berita, rencana, malah pemupukan ke arah peningkatan semangat patriotisme ini turut diaplikasikan dalam pelbagai kaedah.

Antaranya, menerusi drama genre sejarah, dokumentari khusus selain program-program sambutan kemerdekaan yang dianjurkan.

Namun, semuanya berbalik kepada persoalan berapa ramaikah antara kita yang begitu menghargai, menjiwai dan menghayati akan erti sebenarnya pengorbanan perajurit ini?

LUPA KEPENTINGAN TENTERA

Sudahlah nilai patriotisme di kalangan golongan muda sering dipertikaikan dengan ada antara mereka menganggap hari kemerdekaan tidak lebih daripada sekadar cuti awam.

Bagaimanapun, apa yang paling mendukacitakan apabila ada segelintir pihak bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan perajurit sebelum ini bahkan memandang sebelah mata atau lupa akan kepentingan tentera hari ini.

Bagi mereka, peranan tentera hanya perlu disanjung sebelum era kemerdekaan yakni sebelum tahun 1957 kerana mengaitkan anggota pertahanan negara dengan Darurat yang berlaku pada waktu itu, namun adakah mereka benar-benar menghargainya?

Berbanding pada hari ini, di mana negara aman dan makmur dan masyarakat pelbagai bangsa dalam satu negara hidup aman, sejahtera, sehingga menjurus kepada satu pemikiran sempit, mempertikaikan kepentingan untuk mengwujudkan satu pasukan tentera berkaliber.

Semuanya berlaku disebabkan mereka mengambil enteng akan peranan anggota tentera di samping tiadanya minat untuk mengetahui kisah perajurit serta sejarah negara.


Kalau diikutkan, sejarah serta pengetahuan mengenai kisah pengorbanan perajurit beperanan serampang dua mata di mana selain menajamkan semangat patriotisme ia juga membuka mata seluasnya akan peranan anggota tentera.

Namun peranan tentera hari ini dilihat seperti tiada kepentingan, sekadar beraksi di pembarisan, pameran, ekspo serta pemberian bantuan.

Walhal, keamanan, keharmonian dikecapi hari ini bukan sekadar hasil daripada tonggak kepimpinan negara malah merupakan pengorbanan anggota keselamatan, tanpa kira siang malam, tidak kenal erti penat lelah, tinggalkan isteri dan anak semata-mata hanya satu, menjaga serta mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama 55 tahun ini!

NEGARAKU MERDEKA!

Tiadanya peperangan, negara sudah merdeka, tidak bererti kita sudah terlepas daripada ancaman musuh, dan ini diakui sendiri oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Mejar Rosli (B) Mohd Yazid.

“Kita harus ingat kewujudan tentera ini sebagai benteng daripada ancaman luar. Bukannya apabila mengaitkan tentera, kita mesti berperang, bukan. Lagipun, bukan dasar kita untuk menakluki mana-mana negara lain.

“Kalau kita lihat tentera tidak penting, dengan kedudukan Malaysia yang strategik ini ada kemungkinan kita akan dijajah sekali lagi. Kita mesti setanding dengan negara lain dalam aspek pertahanan, demi menjaga keselamatan negara,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, biarpun peranan tentera tidak dapat dilihat secara meluas, hakikatnya anggota keselamatan ini sama ada darat, laut mahupun udara, mereka yang bertanggungjawab menjaga sempadan, melakukan pemantauan, rondaan bagi mempertahankan negara daripada diceroboh oleh anasir jahat mahupun membanteras penyeludupan senjata, manusia.

Dengan adanya langkah kawalan ini, ia bukan sahaja menjanjikan keamanan, keharmonian kepada masyarakat sehingga menyebabkan ada antara mereka memandang sebelah mata akan peranan komuniti pertahanan ini, namun harus diingat tentera antara faktor penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta tarikan pelabur luar.

Namun, disebabkan sebahagian besar generasi sekrang sudah merasai kenikmatan dunia, dan tidak pernah merasai cabaran keperitan sebelum itu, kebanyakannya lupa dan leka akan kepentingan tentera.

Ditambah pula dengan semangat patriotisme yang kurang menebal, tidak berminat membaca dan menonton kisah perajurit terdahulu, menyebabkan peranan tentera hari ini dilihat tidak penting, senario ini boleh melukakan perasaan di kalangan parajurit yang masih hidup, berjuang demi kemerdekaan negara.

KOMUNIS, JERANGKAP SAMAR

BANGGA…. PW 1 (B) Temenggong Kanang anak Langkau (depan) bersama barisan pahlawan tentera vateren Sarawak yang telah menerima Panglima Gagah Berani (P.G.B) diberi penghargaan sempena istiadat sambutan Hari Pahlawan di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, Ahad. Kanang yang dilahirkan pada 1945 dan menyertai ‘Sarawak Rangers’ sebagai ‘Iban Trackers’ pada 21 April 1962 itu merupakan satu-satunya penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) iaitu anugerah tertinggi persekutuan dan keberanian di dalam negara yang masih hidup hingga sekarang

Dan, ini yang dirasai oleh Rosli ketika berkhidmat sebagai Ketua Platun Rejimen Renjer Diraja Tentera Darat Malaysia semasa terlibat dalam operasi menentang komunis pada 1974.

Walaupun pengalamannya bukanlah sebelum 1957, namun terlibat semasa operasi penentangan komunis adalah satu detik yang sukar dilupakan kerana nyawa dipertaruhkan dalam mempertahankan kemerdekaan negara.

Memimpin 35 anggota dalam satu platun, masuk dan keluar hutan, terdedah kepada pelbagai bahaya, saat-saat paling menyedihkan adalah melihat kesengsaraan rakan angkara jerangkap samar.

“Ketika saya menyertai operasi menentang komunis pada tahun 1974, memang masa itu tengah panas dan perkara paling sukar apabila terkena jerangkap samar, kerana akan ada semangat anggota yang jatuh.

“Ditambah pula, melihat sendiri bagaimana kawan-kawan terkena jerangkap samar, ada yang mati, buta dan cacat anggota badan, sedih…Dan, apabila melihat generasi muda memandang remeh kemerdekaan, saya terasa sangat.

“Rasa diri, dan pengorbanan selama ini diperlekehkan,” katanya yang telah bersara awal pada 1994.

Kekecewaan ini turut dikongsi bersama Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran Perhebat, Mejar (B) Rosdin Mohammad.

Pernah berkhidmat menentang komunis pada 1983 sehingga setahun sebelum komunis menyerah diri pada 1989, bagi Rosdin ia merupakan satu pengalaman manis yang tidak dapat dijual dibeli, sekali gus meningkatkan lagi semangat patriotismenya.

Ditambah pula dengan pengalaman ketika dihantar berkhidmat sebagai pemerhati tentera di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Perang Bosnia, melihat kesan peperangan menjurus beliau untuk lebih menghargai dan mempertahankan keamanan serta kesejahteraan yang dikecapi.

“Kita perlu menghargai usaha datuk, nenek, moyang mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan. Saya sudah melihat bagaimana deritanya, sengsaranya mangsa perang.

“Biarpun kita sudah merdeka, tetapi kedaulatan negara harus dijaga supaya kejadian seperti Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963, tidak akan berulang lagi,” katanya.

Ini bagi mereka yang masih hidup. Bagaimana pula dengan beratusan yang sudah meninggal hanya semata-mata untuk menghadiahkan keamanan kepada kita?

Tidak timbulkah akan sekelumit perasaan bersalah, kalau tidakpun hargailah peranan tentera kerana tanpa mereka tidak mustahil sejarah hitam seperti Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963 akan kembali menyengat.

KONFRONTASI MALAYSIA-INDONESIA 1963-1966

Mungkin ada yang lupa akan peristiwa ini.

Biarpun ia sudah lama berlalu, namun Konfrontasi Malaysia-Indonesia ini merupakan satu sejarah hitam moden yang berlaku selepas era kemerdekaan negara, merungkai akan kepentingan untuk mengwujudkan barisan tentera berkaliber.

“Katakanlah kalau kita kalah pada konfrontasi itu, kemerdekaan negara akan habis dan ditakluk semula serta menjadi rakyat Indonesia.

“Konfrontasi ini menjadi satu penggerak untuk membangunkan satu kuasa tentera darat, laut dan udara yang kuat bagi memastikan keamanan negara berterusan. Ia seperti kalau anda ada rumah yang cantik, tetapi kalau tidak ada pagar, tiada gunanya,” ulas Pengerusi Perhebat Laksamana (B) Tan Sri Ilyas Din.


PENGISIAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN

Mungkin, menyalahkan sepenuhnya generasi muda bukanlah satu tindakan wajar.

Ada kemungkinannya pengisian sambutan kemerdekaan negara perlu dijadikan pemangkin semangat patriotisme serta rasa penghargaan kepada anggota tentera.

“Ada kalanya saya rasa sambutan hari kemerdekaan ini sudah seperti ‘fashion show’ kerana melihat anggota keselamatan negara lengkap berpakaian melakukan pembarisan.

“Mungkin mereka ingin mengambarkan jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara, tetapi orang macam saya bolehlah faham, yang lain? Sebab itulah, saya merasakan pengisian sambutan kemerdekaan harus ditambahbaikkan lagi,” kata Rosli.

Menyuarakan pandangan serupa, Ilyas dan Rosdin, keduanya merasakan pembikinan drama atau filem sejarah dapat membantu meningkatkan semangat cintakan negara serta penghargaan kepada tentera.

Namun begitu, semuanya berbalik kepada didikan sejak kecil lagi. Pemupukan semangat patriotisme di samping menghargai jasa tentera bukan sahaja sebelum era kemerdekaan tetapi sehingga saat ini harus disemai setiap masa.

Harus diingat, tanpa adanya anggota tentera tidak mungkin kita dapat hidup seaman, sedamai ini.

 

 

 

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.