ADUN Sindumin, Yusof Keluar Warisan - pakdin.my

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob hari ini mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bekas Ketua Penerangan Warisan itu berkata, tindakan tersebut diambil kerana mahu membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan daerah Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

“Tindakan saya adalah keputusan peribadi tanpa tekanan atau pengaruh sesiapa. Saya mahu fokus bekerja untuk rakyat yang saya wakili, bukan teriak-teriak di kedai kopi tetapi tiada apa-apa dilakukan untuk rakyat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Yusof, 66, menang kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, sebelum mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya tersebut, kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lepas dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lalu.

Yusof berkata beliau telah berbincang dan menyatakan hasrat keluar parti dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Semporna itu tiada halangan untuk beliau berbuat demikian.

“Kita bincang sebagai sahabat, beliau tiada halangan kerana dalam politik begitulah keadaannya, hari ini berkawan esok berpisah. Saya secara peribadi tidak mahu bermusuh dengan sesiapa, saya mahu jaga rakyat mahu jaga negeri Sabah.

“Saya dengan Warisan tiada masalah dan bersikap terbuka, saya bersedia dengan apa-apa tindakan selepas ini. Saya juga akan memberi surat makluman kepada Speaker DUN (Datuk Kadzim M Yahya),” katanya.

Ditanya tentang reaksi Warisan Bahagian Sipitang dan pengundi DUN Sindumin,  katanya terserah kepada mereka mengatakan apa sahaja atau mengikut jejak langkahnya, namun apa yang penting beliau dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat diwakilinya. – Bernama

UTAMABERITAADUN Sindumin, Yusof Keluar Warisan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium