Agong kutuk serangan keganasan di Sri Lanka

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pelaku serangan keganasan di beberapa lokasi di Sri Lanka, semalam.

Baginda turut menzahirkan perasaan dukacita atas kehilangan nyawa dan kecederaan yang berlaku.

“Seri Paduka juga mengucapkan takziah dan simpati tidak terhingga kepada mangsa jenayah tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun itu, yang disasarkan kepada orang tidak berdosa ketika sambutan perayaan Easter iaitu ketika penganut Kristian sedang berkumpul untuk berdoa dan merayakan sambutan itu.

“Baginda turut menyatakan sokongan dan solidariti Malaysia dengan mangsa, keluarga mereka dan rakyat Sri Lanka,” kata kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga yakin rakyat Sri Lanka akan terus bersabar mempertahankan kekuatan dan kemanusiaan mereka dalam menghadapi tragedi amat mengerikan itu.

Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo pada jam 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang.
Terdahulu, Ahad lalu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kejadian itu. — Bernama