Agong Seru Rakyat Sokong Usaha Kerajaan Perkukuh Ekonomi Negara - pakdin.my

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Rabu menyeru rakyat supaya sentiasa menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara berikutan senario ekonomi dunia masa ini yang diramalkan tidak menentu.

Seri Paduka bertitah rakyat tidak boleh alpa dan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dan berusaha dengan gigih.

Baginda bertitah keadaan ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun serta tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah dan juga perdagangan dunia yang lebih perlahan.

“Beta melihat suasana global ini tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.

“Justeru seluruh rakyat Malaysia termasuk warga Wilayah Persekutuan perlulah sentiasa komited untuk terus bekerja dengan penuh iltizam dan sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Istana Melawati sini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Dalam titah baginda, Tuanku Abdul Halim turut meminta rakyat berbilang kaum untuk terus memupuk dan memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama bagi memastikan kemakmuran dan keamanan yang dikecapi hari ini dapat dikekalkan.

Baginda juga melahirkan rasa sukacita dengan Kuala Lumpur yang membangun dengan pesat dan berada di atas landasan yang tepat menuju pencapaian status bandaraya bertaraf dunia dan menjadi antara senarai 20 bandaraya paling sesuai didiami menjelang 2020.

Seri Paduka juga berharap Wilayah Persekutuan Labuan akan terus berkembang menjadi hab halal bagi produk berasaskan keluaran laut dan hab logistik bagi minyak dan gas, selain menumpukan usaha menjadikannya sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

“Demikian juga dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Selain menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Beta merasa gembira kerana Putrajaya telah mengorak langkah menuju matlamat menjadi bandaraya yang mampan dan makmur demi kesejahteraan seluruh warganya”.

UTAMABERITAAgong Seru Rakyat Sokong Usaha Kerajaan Perkukuh Ekonomi Negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium