Ahli Akademik Dedah Tembelang Kerajaan Selangor Salahkan Syabas @Khalid_Ibrahim - pakdin.my

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri

SHAH ALAM, 12 Jan  — Seorang ahli akademik dan pakar air hari ini mendedahkan tembelang kerajaan Selangor yang hanya menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung krisis bekalan air sedangkan kerajaan negeri gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah perjanjian konsesi air.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata agak melucukan juga apabila Syabas dituduh sebagai punca krisis air yang kini melanda 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang dan kerajaan negeri mahu menyaman syarikat itu.

Beliau berkata kerajaan Selangor sebenarnya memiliki 30 peratus saham dalam Syabas dan walaupun bukan majoriti, ia pegangan saham yang besar dan malah mempunyai dua pengarah dalam lembaga syarikat berkenaan.

“Sebenarnya Syabas adalah di bawah kendalian kerajaan Selangor tetapi kerajaan negeri seolah-olah cuba menutup bahawa mereka mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

“Seolah-olah mereka cuba menyatakan Syabas ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri.

“Apabila memiliki 30 peratus saham, ini kuasa yang besar dalam perniagaan tetapi kerajaan Selangor seolah-olah tidak nak ambil tahu pun apa yang berlaku dalam Syabas, seolah-olah Syabas adalah entiti yang bukan kena mengena dengan mereka dan ditambah seronoknya cerita, kerajaan negeri nak saman Syabas,” kata Dr Zaharuddin.

Beliau berkata tindakan itu samalah seperti menyaman kerajaan Selangor sendiri yang memiliki 30 peratus saham di samping mempunyai dua pengarah dalam Syabas iaitu Noorusa’adah Othman dan Suhaimi Kamaralzaman.

“Kenapa asyik salahkan orang lain? Kenapa tidak dibincangkan semasa mesyuarat lembaga pengarah, menyatakan ini yang tak betul, ini yang perlu dibetulkan,” kata beliau.

Dr Zaharuddin berkata kerajaan negeri nyata hanya mahu menjadikan isu air “mainan politik” semata-mata dan beliau tidak faham apa yang kerajaan Selangor cuba mengaburi rakyat ketika ini.

Menurut Syabas gangguan bekalan air di kawasan Gombak dan Ampang berpunca daripada kerosakan pam di dua pusat rawatan air selain pam-pam Syabas, yang direka bentuk untuk menampung kapasiti 138 juta liter sehari (JLS), terpaksa mengendalikan 150JLS ekoran permintaan air terlalu tinggi.

Di bawah perjanjian konsesi air Selangor, tanggungjawab pembersihan sungai dan tadahan air, memberi kelulusan kepada operator rawatan/bekalan air untuk membina rumah pam baharu serta membaiki dan menaik taraf loji dan rumah pam rosak dan uzur adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Dr Zaharuddin berkata Syabas memerlukan perbelanjaan modal atau Capex untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada kerajaan negeri tetapi kerajaan negeri tidak menyalurkan modal yang sepatutnya mengikut perjanjian konsesi kepada Syabas atas alasan-alasan yang selama ini menjadi konflik di antara kerajaan negeri dan Syabas.

“Macam mana sekali pun, air terletak di bawah kerajaan negeri. Bagaimana kerajaan negeri boleh menyatakan mereka tidak bertanggungjawab terhadap isu ini?

“Bila berlaku masalah seperti ini, siapa yang rugi. Adakah kerajaan negeri Selangor rugi, adakah Syabas rugi ataupun rakyat yang sengsara disebabkan mainan politik ini,” katanya.

Mengenai pendirian kerajaan Selangor berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu, beliau berkata persoalan yang timbul sekarang ini ialah cukupkah air yang akan diagihkan kepada semua orang.

Dr Zaharuddin berkata penstrukturan semula adalah suatu isu berlainan dan perlu dilihat dalam aspek berbeza dan perlu ada air mentah untuk diagihkan dahulu, barulah boleh melihat penstrukturan.

“Satu penunjuk ialah penduduk terlalu ramai, industri terlalu banyak yang semuanya memerlukan bekalan air. Jadi kita memerlukan alternatif bagaimana untuk menyelesaikan maasalah ini.

“Kita memerlukan kepada bekalan air mentah untuk dirawat. Ada air mentah untuk dirawat, perlu juga pusat rawatan air, baru kita boleh agihkan. Penstrukturan semula itu adalah agihan kerana bagaimana kita nak lakukan pengagihan kalau kita tidak ada bahan mentah untuk diagihkan?,” katanya.

Beliau berkata apabila kerajaan Selangor berkata air di Selangor cukup sehingga 2030, ia berdasarkan statistik lapuk yang tidak mengambil kira kepadatan penduduk dan penambahan industri yang tidak terkawal.

“Pernahkah kerajaan Selangor fikir berapa ramai penduduk di negeri Selangor sendiri. Dan tiba-tiba kerajaan Selangor alpa tentang air di Selangor ini bukan semata-mata untuk rakyat Selangor, tetapi termasuk juga untuk mereka yang duduk di Kuala Lumpur dan juga mereka yang duduk di Putrajaya.

“Pernah lihat ke atau tidak bagaimana pesat pertumbuhan di Putrajaya? Pernah terfikirkah berapa banyak air diperlukan di Putrajaya? Jadi adakah selepas ini kerajaan Selangor mungkin atas mainan politik untuk sabotaj…boleh mengatakan kita tak nak bagi air kepada Putrajaya. Adakah itu yang mereka nak lakukan?

“Tetapi saya fikir sebagai kerajaan yang berhemah, kerajaan yang memikirkan tentang kebajikan rakyat, rakyat harus diutamakan. Maka saya merayu kita hentikan mainan politik kerana air ini adalah milik bersama…air ini adalah milik rakyat, kita hanyalah sebagai pengendali…pengusaha sementara untuk diberikan kepada rakyat.

“Janganlah disebabkan oleh kepentingan-kepentingan tertentu, kita menganiaya rakyat. Kalau kita menganiaya rakyat, bayangkan kebangkitan rakyat satu hari nanti,” kata beliau.

UTAMAPOLITIKAhli Akademik Dedah Tembelang Kerajaan Selangor Salahkan Syabas @Khalid_Ibrahim

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium