Ahmad Bashah Angkat Sumpah MB Kedah Ke-12

Kongsi:

ahmad-bashah-angkat+sumpah

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Istana Anak Bukit di sini.

Ahmad Bashah, 66, yang merupakan Menteri Besar Kedah ke-12, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut hadir dua lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum, anggota Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Sepiah Isa.

Juga hadir pada majlis adalah sebilangan besar ADUN dan dan anggota Parlimen Kedah. Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga ADUN Ayer Hitam, tidak kelihatan pada majlis itu.

Semalam, Ahmad Bashah, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz, berkuat kuasa hari ini.

Ia susulan pengumuman peletakan jawatan Mukhriz yang telah hilang sokongan majoriti wakil rakyat di negeri ini.

Ahmad Bashah merupakan antara pemimpin UMNO negeri yang paling kanan apabila menjadi anggota ADUN Bakar Bata (dahulu Alor Merah) untuk lima penggal sejak 1995.

Beliau juga pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama dua penggal sejak 1999 hingga 2008.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, Ahmad Bashah dilantik sebagai Senator dan juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Beliau telah melepaskan kedua-dua jawatan itu semalam selepas diumumkan menjadi Menteri Besar Kedah.

Beliau berkahwin dengan Datin Seri Hizam Awang Ahmad dan dikurniakan empat puteri.

Kongsi:

Terkini

Sering dibaca

Dari FB Najib Razak

32 Replies to “Ahmad Bashah Angkat Sumpah MB Kedah Ke-12

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.