25 C
Kuala Lumpur
Friday, April 16, 2021

Ahmad Maslan temui Speaker Dewan Rakyat

Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini.

Ahmad berkata, dalam pertemuan itu beliau membangkitkan mengenai keperluan diadakan semula persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, perkembangan politik semasa turut dibincangkan dalam pertemuan kira-kira sejam itu.

“Saya timbulkan perlunya Parlimen bersidang. Benarkan, ia boleh bersidang ketika darurat,” katanya dalam Twitternya, hari ini.

Pada Mac lalu, BN merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan segera.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Seri Paduka Baginda boleh memperkenankan perkara itu dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Gesaan sama dibuat pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pada 4 Mac lalu, mengadakan pertemuan dengan Azhar di Parlimen bagi membincangkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, Speaker Dewan Rakyat tiada kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen bersidang.

Katanya, kuasa itu terletak di tangan Kabinet dan nasihat Perdana Menteri.

“Penantian yang panjang untuk #WakilRakyat membawa #SuaraRakyat. Ahli Parlimen terus menunggu,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.