30 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 26, 2021

Air Sungai Golok cecah paras amaran

sungai-golok-amaran-banjir

29 NOV: Hujan sejak malam kelmarin menyebabkan air Sungai Golok meningkat ke paras amaran (8.16 meter).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rahmat Kamaruzaman berkata, keadaan masih terkawal dan tiada perpindahan mangsa banjir dilaporkan.

sungai rantau panjangMenurutnya, jalan utama ke Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan Jeli masih boleh dilalui semua kenderaan.

Bagaimanapun katanya, sebahagian jalan Kampung Seberang Merbau-Repek, jalan Putat Tujoh-Gertak Nombor Tiga, jalan Putat Tujoh-Tasek Bakong, jalan Tersang-Lanchang dan jalan Kampung Kelawar ditutup untuk kenderaan ringan kerana dinaiki air.

“Keadaan ini menyebabkan Kampung Tasek Bakong, Putat Tujuh, Lanchang, Jeram Perdah, Kajang, Tersang, Terusan, Banggol Nyor, Banggol Kedondong dan Jejawi berisiko banjir.

“Jika berlaku sebarang kecemasan berkaitan banjir, penduduk diminta menghubungi Bilik Gerakan Bomba Rantau Panjang di talian 09-7950444,” katanya.

Sementara itu, penduduk di Kampung Gual To’ Deh, Hassan Setapa, 50, berkata, hujan lebat sejak 10 malam kelmarin menyebabkan laluan ke rumahnya dinaiki air hampir 0.5 meter.

Menurutnya, keadaan itu memaksa penduduk mengalihkan kenderaan ke tempat tinggi kerana aliran air dari Sungai Golok dan Sungai Lanchang tidak menunjukkan sebarang penurunan.

“Kawasan lembah di sini biasanya dinaiki air melebihi satu meter, jadi kami bersiap sedia lebih awal antaranya mengalihkan barang berharga ke loteng rumah,” katanya.

Sementara itu, kelmarin, Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan memaklumkan, angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Labuan, dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Keadaan sama dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah (Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman, Labuan) serta Sarawak.

Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kenaikan paras air laut dan dijangka berterusan sehingga hari ini.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.