#AJL34: Aina mohon maaf, TV3 semak CMCF - pakdin.my

Dituduh keterlaluan dalam persembahan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, malam tadi, Aina Abdul mendakwa gimik ‘darah’ yang menitis daripada gaun dipakainya adalah simbolik hati yang terluka, bukan menunjukkan aksi bunuh diri.

Aina yang mempertaruhkan lagu ciptaannya, Sumpah, mendakwa dia masih waras dan siuman serta tidak terfikir untuk mengangkat isu negatif di pentas akhir acara anugerah berprestij yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, itu.

“Saya memohon maaf jika mesej yang disampaikan disalah tafsir dan dianggap keterlaluan oleh segelintir pihak.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh menghalang orang daripada bercakap. Cuma saya ingin menegaskan persembahan itu bukan isu bunuh diri.

“Darah itu hanyalah simbolik perasaan yang terluka. Saya mengaku ada memukul dada tetapi itu adalah gaya persembahan saya yang biasa, namun, disalah tafsir segelintir penonton,” katanya pada sidang media sebaik berakhirnya AJL34 di sini, malam tadi.

Malam tadi, aksi Aina ketika mendendangkan lagu ciptaannya, Sumpah, mencetuskan kontroversi apabila dikecam Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA) yang mendakwa gimik itu keterlaluan apabila memaparkan konsep bunuh diri.

Mengikut kenyataan dikongsi di Facebook (FB), Public Health Malaysia, persembahan Aina melanggar garis panduan laporan media yang melarang sebarang bentuk adegan membunuh diri dengan menunjukkan cara dan kaedah menamatkan hayat.

Persembahan Aina juga dianggap memberikan mesej salah kepada penonton mengenai kekesalan dan kekecewaan dalam percintaan, sehingga perlu menamatkan riwayat dengan menikam dada.

Aina berkata, pada mulanya, dia merancang menggunakan setitik dua darah sebagai simbolik hati yang terhiris.

“Namun, bagi menjadikan persembahan lebih dramatik, kita gunakan lebih banyak ‘darah’ tetapi tidak menyangka tindakan itu menimbulkan isu.

“Saya akur dengan keputusan penyiar yang menyekat persembahan saya di akaun YouTube. Bagi saya, diberi peluang untuk berada dalam AJL34 adalah rahmat besar untuk kerjaya saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak berkata, pihaknya maklum mengenai gimik ‘darah’ dalam persembahan Aina, tetapi tidak menyangka kuantiti cecair digunakan terlalu banyak sehingga mengundang kontroversi.

Johan berkata, pihaknya akan membuat semakan kod kandungan daripada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) untuk memastikan sama ada persembahan itu bercanggah dengan penyiaran stesen televisyen (TV) sebelum mengambil tindakan.

“Sebelum menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, kami fikir penyelesaian terbaik adalah menyemak dengan CMCF terlebih dahulu apakah persembahan Aina bercanggah dengan kod kandungan penyiaran atau tidak.

“Pihak produksi maklum mengenai konsep persembahan Aina yang menggunakan ‘darah’ untuk memaparkan simbolik hati terluka. Tetapi tidak menyangka ia digunakan dengan keterlaluan.

“Sebagai program siaran langsung, sukar untuk kami mengawal apa yang dilakukan artis di pentas. Perkara itu akan kami jelaskan kepada CMCF.

“Buat masa ini, kami terpaksa menyekat persembahan Aina di YouTube supaya tidak menimbulkan pertikaian lagi. Selepas keputusan semakan itu, barulah pihak stesen membincangkan tindakan selanjutnya,” katanya.

Selain persembahan Aina, persembahan Drama Band menerusi lagu Drama juga disekat di akaun YouTube TV3 kerana menyentuh isu sensitif berkaitan politik.

Rujukan:
#AJL34: Persembahan Konsep Mudarat Diri Keterlaluan & Melanggar Peraturan

UTAMAGAYA HIDUP#AJL34: Aina mohon maaf, TV3 semak CMCF

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium