Amalan kunjung mengunjung, jangan sampai dikutuk tuan rumah - pakdin.my

Amalan kunjung mengunjung di hari lebaran bukan suatu yang asing dalam masyarakat kita.

Selain memenuhi tuntutan tradisi, ia juga dapat mengeratkan perpaduan tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.

Namun, dalam asyik kita berkunjung ke rumah saudara dan kenalan, jangan lupa beberapa perkara penting yang perlu dititik beratkan agar tidak menimbulkan rasa kurang senang kepada tuan rumah.

Berikut kami senaraikan beberapa nasihat untuk anda amalkan ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai:

Elak minta duit raya

Duit raya atau “angpau” bukan perkara asing setiap kali lebaran. Ia seolah-olah menjadi perkara wajib terutama buat anak-anak kecil.

Bagaimanapun, ibu bapa diharap dapat mengawal anak-anak untuk tidak meminta-minta duit raya kepada tuan rumah.

Ini penting bukan sahaja menjaga ‘air muka’ tuan rumah tetapi pada masa untuk elak rasa malu pada diri sendiri.

Jangan pula hanya kerana RM5.00 atau RM10.00 kita jadi bahan umpatan tuan rumah pula.

Jaga kebersihan

Rata-rata di antara kita membersihkan rumah setiap kali sambutan lebaran, malah ada yang mengambil kesempatan membeli perabot baru.

Justeru, apabila berkunjung ke rumah saudara mara atau kenalan maka hendaklah kita elak daripada membuat kotor.

Paling penting, jangan sampai kuah sate tertumpah di atas sofa atau karpet. Nanti ‘pening’ pula tuan rumah.

Jangan terlalu lama menziarahi sesebuah rumah

Hari lebaran memang seronok untuk kita berbual dan berkongsi cerita. Maklumlah, setahun hanya sekali.

Namun, perlu diingatkan bukan hanya kita sahaja tetamu yang perlu dilayan tuan rumah.

‘Ingat orang belakang’

Salah satu keseronokkan amalan kunjung mengunjung adalah juadah yang dihidangkan tuan rumah.

Ini masanya untuk kita menikmati ketupat, lemang, rendang ayam dan banyak lagi menu ‘wajib’ Hari Raya.

Apa pun, makan biarlah berpada-pada. Jangan sampai “sapu licin” juadah yang dihidangkan sampai tetamu lain “berputih mata”, tidak sempat “merasa.”

Ketepikan ‘cakap’ politik

Isu politik mungkin topik yang menarik bagi segelintir individu.

Namun, isu politik bukan suatu yang molek untuk dibincangkan ketika sesi kunjung mengunjung.

Bayangkan jika anda penyokong parti A dan tuan rumah pula pengikut setia parti B. Itu pastinya menjadi “mimpi ngeri.”

Nasihat kami, jika anda benar-benar buntu untuk mencari topik perbualan, apa kata anda mulakan dengan soalan, “berapa jenis buat kuih raya tahun ini?”

Demikian antara nasihat atau tips berkunjung ke rumah saudara mara atau kenalan bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Semoga lebaran yang disambut dapat dinikmati dengan penuh kemeriahan bersama insan tersayang.

UTAMABERITAAmalan kunjung mengunjung, jangan sampai dikutuk tuan rumah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium