26.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 28, 2020

Amalan ‘Politik Ramadan’ Dalam Kempen PRK Kuala Besut – Ahli Akademik

prk-kuala-besut-kempen

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menjadi ujian kepada parti politik yang bertanding — Barisan Nasional (BN) dan PAS — memperlihatkan kematangan mengamalkan ‘politik Ramadan’ dalam kempen masing-masing sebagai menghormati kemuliaan bulan puasa, menurut ahli akademik dan penganalisa politik.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata adalah penting bagi BN dan PAS untuk mengamalkan ‘politik Ramadan’ bagi membuktikan kepada dunia bahawa dalam keghairahan berpolitik, Malaysia sebagai sebuah negara Islam masih tetap menghormati bulan Ramadan serta mampu mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat.

Shukri menjelaskan ‘politik Ramadan’ itu antara lain merangkumi cara berkempen seperti tidak mengadakan ceramah politik keterlaluan sebagaimana yang menjadi amalan dalam setiap kali kempen pilihan raya sebelum ini.


Sebaliknya pendekatan terbaik yang boleh diambil calon dan jentera kempen masing-masing ialah dengan melibatkan diri dalam aktiviti kerohanian seperti menyertai solat tarawih bersama pengundi di kawasan terlibat, katanya.

“Kempen pada bulan Ramadan biarlah hanya untuk pilihan raya dan bukannya untuk menimbulkan dendam, iri hati, prasangka buruk selain menjaga mulut dan rohani,” katanya.

“Ini (PRK Kuala Besut) satu ujian untuk memperlihatkan kematangan umat Islam berpolitik…jadi janganlah cemarkan bulan Ramadan ini kerana kepentingan politik masing-masing,” katanya.

Shukri berkata jika kempen secara berhemah dan mementingkan hubungan siratulrahim semasa Ramadan mampu direalisasikan pada PRK Kuala Besut, ia wajar dijadikan model terbaik bagi kempen pilihan raya akan datang termasuk pilihan raya umum.

Pandangan sama turut disuarakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Pengajian Media Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Ismail Sualman yang berkata BN dan PAS bukan sahaja perlu mengurangkan ceramah politik sebaliknya melaksanakan pendekatan lebih sihat seperti kunjungan mesra ke rumah penduduk oleh calon.

“Dalam menghormati bulan Ramadan ini elakkan kempen biasa yang kadang-kadang menyentuh peribadi calon, fitnah memfitnah lebih-lebih lagi kedua-dua calon adalah orang Islam,” katanya.


Ismail juga berkata kempen menerusi media sosial seperti Facebook dan Twitter yang cenderung kepada menghasut serta memburukkan pihak lawan juga mesti dihentikan.

Bagi pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz pula kempen secara berhemah sebenarnya bukan sahaja wajar dilakukan semasa bulan Ramadan, sebaliknya ia perlu diamalkan pada setiap kali adanya pilihan raya.

Kempen secara baik dan berhemah ‘tidak kira masa’ kerana setiap pilihan raya itu memerlukan ketelusan supaya apa juga disampaikan kepada rakyat bukan satu pembohongan tapi janji yang dapat ditunaikan, katanya.

“Walaupun kempen pilihan raya, ia tak terkecuali daripada sikap atau nilai dan budaya bercakap…ia harus melahirkan sesuatu yang baik dan menghalang keburukan,” katanya.


Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar daripada Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini untuk pengundian.

Berita Berkaitan

Warisan punca peningkatan Covid-19, bukan GRS atau saya – Musa Aman

Saya berasa terpanggil menulis surat ini bagi menjelaskan punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di...

Hajiji positif COVID-19, dirawat di hospital

Datuk Hajiji Noor disahkan positif COVID-19 dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth, kata...

PRK Batu Sapi: BN tidak letak calon, fokus kesihatan rakyat – Zahid Hamidi

Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)...

Pilihan raya kecil Batu Sapi akan tetap diadakan ?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan...

Komen

..

Keputusan MKT UMNO semalam termasuk juga salah satu cadangan saya – Najib

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen UMNO, saya bawa tiga cadangan dalam meeting semalam kerana itulah tujuan kami bertemu. Ia adalah untuk berbincang dan menentukan hala...
993PeminatSuka
4,664PengikutMengikut
3,360PengikutMengikut
13,700PelangganLanggan