Anak mangsa lemas menangis minta tolong - pakdin.my

KUALA BERANG: “Saya lihat kanak-kanak itu duduk seorang diri atas pasir di tempat kejadian sebelum dia beritahu ibu dan bapa serta tiga kakaknya lemas dalam air,” kata Razak Ahmad, seorang peniaga yang baru tiba di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, sejurus selepas kejadian lima sekeluarga lemas.

Razak, 40, yang berniaga air dan goreng pisang di situ, berkata dia baru tiba di gerainya, sebelum beberapa pengunjung datang memberitahu mengenai kejadian.

“Saya kemudian ke lokasi kejadian dan menemui kanak-kanak itu berseorangan. Saya tanya di mana ibu dan bapanya dan dia memaklumkan dalam air.

“Saya menghubungi beberapa penduduk kampung untuk membantu mencari lima beranak itu. Usaha menaikkan mangsa sedikit sukar kerana arus berpusar selain air agak dalam mencecah tujuh meter berbanding kebiasaan,” katanya.

Seorang lagi yang terbabit dalam operasi mencari, Mohd Zainuddin Othman berkata, dia sudah beberapa kali terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas di kawasan itu, tetapi mengakui kejadian itu adalah yang paling sedih.

“Sudah lebih 20 mangsa lemas di kawasan ini yang saya bantu cari, tetapi kejadian ini paling menyedihkan.

TEH Jarah (kanan) menenangkan cucunya, Mohd Hasif ketika ditemui di kediamannya di Kuala Nerus, semalam. – Foto Rozainah Zakaria

“Sedih melihat kanak-kanak itu menangis sambil meminta tolong cari ayah, mak dan kakaknya dalam air ketika saya tiba di tempat kejadian,” katanya yang dikenali dengan kepakarannya mencari mangsa lemas di kawasan rekreasi itu.

Katanya, mangsa yang lemas di kawasan berkenaan tidak akan hanyut lebih jauh kerana pusaran arus di dasar akan menghanyutkan mangsa ke kawasan berbatu berhampiran air terjun.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, sepasang suami isteri, Mohd Halim Samian, 44 dan Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39, serta tiga anak mereka, Nurul Arifah, 16; Nurul Hidayah Aina, 11, dan Nurul Izzah,10, lemas selepas mandi di Air Terjun Belukar Bukit, di sini.

Bagaimanapun, anak lelaki pasangan itu, Mohd Hasif, 8, terselamat kerana berada di daratan.

Sementara itu, seorang penduduk yang sebelum ini ditugaskan menjaga kawasan berkenaan, Mohd Yusof Mohamad, 61, berkata, dia bertugas di kawasan berkenaan sejak 2000 hingga 2014 dan sepanjang tempoh itu sudah beratus pengunjung lemas di kawasan berkenaan.

“Boleh dikatakan setiap tahun ada kes lemas berlaku di kawasan ini dan kejadian terakhir membabitkan remaja lelaki berusia 13 tahun pada Aidiladha lalu,” katanya.

UTAMABERITAAnak mangsa lemas menangis minta tolong

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium