Anak Muda Dan Dunia Digital Yang Penuh Bahaya

Berkaitan

Terkini

pengguna-smartphone

“Macam mana nak berhubung dengan dunia luar. Media digital amat perlu untuk semua dalam abad ini. Jika tiada media digital kehidupan bagaikan di Zaman Batu”.

Ini antara luahan hati Nur Farah Hanani Norzaman, 15, pelajar SMK Agama Kuala Lumpur, apabila diminta membayangkan dunia tanpa media digital.

Amat sukar untuk anak-anak abad ke-21 membayangkan bahawa hanya sekitar 20 tahun lalu, ibu bapa mereka berjaya melalui era yang mereka sifatkan sebagai Zaman Batu itu.

Ketika itu, ibu bapa mereka menggunakan telefon awam untuk menelefon kawan mereka serta keluarga apabila berada di luar.

Mereka juga akan mengutus surat kepada kenalan di negara lain. Sekiranya mereka sukakan sesuatu, mereka akan bersuara untuk menzahirkan rasa suka mereka dan bukan dengan hanya menekan tanda ‘angkat ibu jari’ (thumbs up) di skrin.

Apa yang berlaku sekarang, anak-anak melihat penggunaan peralatan digital dan teknologi mudah alih sebagai sebahagian daripada budaya hidup.

Dunia adalah pentas sosial tanpa sempadan untuk mereka, dipenuhi hiburan, maklumat serta peluang dengan hanya satu klik atau tekan.

YANG TAK ELOKNYA TENTANG DUNIA SIBER

Bagaimanapun, di sebalik faedah yang banyak, Internet juga membuka laluan kepada perkara yang negatif.

Ini termasuk membuli dalam talian, kata-kata benci, gangguan, judi dalam talian dan mudah mengakses bahan lucah serta bahan lain yang membahayakan.

Menurut Phenny Kakama, Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF, dunia digital kini seakan sama dengan dunia yang sebenar.

“Memandangkan semakin sukar untuk membedakan alam luar talian dan dalam talian, adalah penting untuk kita mengkaji bagaimana keadaan yang berubah ini memberi kesan kepada kesejahteraan dan pembangunan kanak-kanak serta hak mereka, ” katanya.

Phenny membahagikan risiko dalam talian yang dihadapi kanak-kanak kepada tiga kategori iaitu bahaya daripada isi kandungan, orang yang dihubungi dan tingkah laku.

Bahaya daripada segi isi kandungan berlaku apabila kanak-kanak adalah penerima pasif bahan lucah atau isi kandungan berbentuk seksual.

Bahaya daripada orang yang dihubungi ialah apabila kanak-kanak disasarkan sebagai peserta oleh orang dewasa atau kanak-kanak lain dalam kegiatan seperti penderaan seksual dan membuli.

Sementara bahaya daripada tingkah laku pula adalah apabila kanak-kanak bertindak dalam cara yang boleh membahayakan dirinya.

Antaranya membuat atau memuat turun bahan lucah, berjumpa sendiri orang dewasa yang dikenali dalam talian, meletakkan gambar sendiri atau anak muda lain dalam talian atau memuat turun gambar kanak-kanak didera atau dibuli.

“Sementara apa yang saya sebut tadi adalah bentuk penderaan dan eksploitasi dalam talian yang semakin merebak, anak muda juga berdepan dengan risiko apabila mereka berkongsi maklumat peribadi, memuat turun bahan yang dilarang serta membuat pembelian kurang bijak dalam talian,” tambahnya.

PERATURAN TANPA PENAPISAN

Usaha bersepadu ibu bapa dan anak-anak mereka, pembuat dasar, agensi penguatkuasaan undang-undang, pekerja sosial, guru serta sektor swasta perlu untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat.

“Sektor swasta terutamanya mempunyai tanggungjawab utama berhubung perlindungan kanak-kanak dalam talian.

“Syarikat perlu proaktif dengan mengambil serius risiko dalam talian dan bertindak sewajarnya.

“Jika tidak, ada kemungkinan kerajaan akan bertindak mengenakan peraturan dan undang-undang dalam cara yang boleh memberi kesan kepada kebebasan maklumat. Peraturan yang seimbang tanpa penapisan perlu dikekalkan pada setiap masa,” kata Phenny.

APA KATA GOLONGAN REMAJA

Sewaktu Persidangan Serantau Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian 2015 yang diadakan baru-baru ini, 19 orang kanak-kanak turut serta sebagai Perwakilan Kanak-Kanak di bawah usia 18 tahun.

Mereka mewakili Childline Malaysia, Majlis Kanak-Kanak, Duta DiGi Cybersafe, Liga Remaja Kreatif di bawah program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Yayasan Pusat Pembelajaran Alternatif Chow Kit.

Peserta persidangan secara umumnya menyokong pelaksanaan peraturan sendiri dalam mengawal ancaman siber.

Bagaimanapun, mereka mengakui masih memerlukan bimbingan daripada orang dewasa terutamanya ibu bapa dan pihak sekolah.

“Ibu bapa seharusnya menasihatkan anak-anak mereka akan apa yang boleh dan tak boleh apabila melayari Internet,” kata Muhamad Azim Fadzil Abdul Manan, 16.

Pelajar SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu berkata pengguna (kanak-kanak) perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebaik sahaja mereka sedar mereka menjadi mangsa buli dalam talian.

Nursharlene Azahar, 15, berpendapat sekolah bertanggungjawab mendidik kanak-kanak tentang Internet.

“Sekolah perlu mendidik kanak-kanak tentang faedah dan bahaya Internet dan membantu agar kanak-kanak dapat melayari Internet dengan selamat,” katanya.

Cathryn Anila dari SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang, percaya kanak-kanak perlu bertindak secara bertanggungjawab dan wajar apabila melayari Internet.

“Bagaimanapun, orang dewasa memainkan peranan penting dalam membimbing kanak-kanak supaya mereka tidak menyalahgunakan kebebasan mengakses isi kandungan Internet,” kata pelajar berusia 15 tahun itu.

PELAN BERTINDAK PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DALAM TALIAN (PTCOP)

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah membangunkan Pelan Bertindak Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian (PTCOP) untuk menangani isu abncaman siber.

Antara kementerian serta agensi yang terlibat dalam perlaksanaan pelan ini ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, SKMM dan Polis Diraja Malaysia.

“Diharapkan PTOP dengan empat aspek utama iaitu sokongan, pencegahan, campurtangan dan khidmat sokongan akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan kesedaran serta komitmen ibu bapa, guru, anggota masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaaan,” kata menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Leave a Reply