Ancaman Terhadap Psy Memalukan Negara

psy show penang malaysia

psy show penang malaysiaKesediaan superstar dari Korea, Psy yang popular dengan lagu tarian kuda Oppa Gangnam Style untuk turut sama memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang tempohari rupanya meninggalkan sedikit tompok hitam dalam sejarah hidup penyanyi itu.

Mana tidaknya apabila keselamatannya diancam gara-gara kegilaan segelintir pihak yang tidak dapat menerima hakikat penyanyi popular Korea itu tetap bertegas untuk memenuhi undangan mengadakan persembahan di majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh BN.

Beberapa hari sebelum Psy mengadakan persembahan di hadapan lebih 80,000 orang hadirin di majlis itu, keterujaan penyanyi itu untuk buat julung kalinya menemui peminatnya di Malaysia sedikit terencat apabila kehadirannya tidak hanya dipertikaikan oleh PR malah dijadikan isu politik untuk memburukkan Kerajaan Malaysia.

Para pemimpin PR berusaha sedaya upaya mensabotajnya dengan melancarkan propaganda kononnya penganjuran majlis tersebut adalah satu pembaziran wang rakyat dan wang pembayar cukai walau hakikatnya tidak pun begitu.

Bila kebenaran diketahui umum kos penganjuran dan perbelanjaan membawa Psy ke Malaysia ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta, PR melalui dukungan penyokong mereka menukar taktik dengan menghujani pula akaun sosial Facebook Psy dengan komen-komen yang mendesak artis itu membatalkan persembahannya di Malaysia.

Tidak cukup dengan gesaan-gesaan itu, sesetengah penyokong PR menghamburkan kata-kata kurang manis terhadap penyanyi itu sementara yang lain pula sengaja memburukkan negara tercinta ini dengan pelbagai tuduhan berbau politik.

Tampak jelas ketidakmatangan fikiran dan sikap penyokong PR dalam isu ini, agak memalukan dan tak sedikit tercalar imej negara ini di mata dunia. Malang betul tanah tumpah darah tercinta ini mempunyai segelintir rakyat yang buruk budi pekerti seperti itu.

Tidak berpuas hati dengan kegagalan demi kegagalan mensabotaj majlis itulah barangkali membawa kepada tindakan gila penyokong PR membuat ugutan yang mengancam keselamatan Psy. Ugutan itu mungkin serius atau sekadar acahan biasa, tapi bagi pihak polis semua itu bukannya satu perkiraan kerana itu langkah berjaga-jaga tetap diambil.

Psy mungkin sedikit kecewa kepulangannya ke negara sendiri pada keesokan diniharinya terpaksa diatur secara sulit tatkala orang ramai sedang nyenyak tidur, ia tentunya pahit tapi demi keselamatannya beliau, itu boleh dikira satu langkah bijak bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Pun begitu, apa yang terjadi pada Psy bukanlah satu perkara pelik bila diimbas kembali beberapa peristiwa lama yang ada hubung kait dengan PR.

Di awal tahun 2009 dulu sewaktu negeri Perak sedang kalut ribut dengan krisis politik, seramai tujuh orang wakil rakyat dari sebuah parti dalam PR pernah menerima ugutan bunuh dari samseng upahan selepas timbulnya ura-ura kesemua mereka itu mahu keluar dari parti dan menjadi ADUN Bebas yang mesra BN.

Sebahagian daripada mereka turut menerima surat ugutan berisi peluru hidup sebagai gambaran talian hayat wakil-wakil rakyat itu bila-bila masa sahaja boleh melayang begitu sahaja jika meneruskan hasrat untuk menjadi ADUN Bebas.

Berikutan ancaman itu, hanya seorang sahaja dari kumpulan tersebut yang berani mengambil risiko keluar dari parti untuk turut serta bersama dua orang lagi ADUN parti lain dari PR, yang kemudian diikuti dengan kejatuhan secara rasmi pemerintahan PR di Perak.

Selang beberapa ketika kemudian, selepas keadaan sedikit reda barulah salah seorang lagi dari kumpulan wakil rakyat itu mengikut jejak langkah sama menjadi ADUN Bebas mesra BN. Sementara bakinya terpaksa terus kekal bersama PR walaupun kepercayaan mereka semakin luntur terhadap gabungan parti yang tidak berdaftar itu.

Secebis kisah mengenai krisis politik di Perak itu sudah cukup membuktikan ketidakmatangan politik agak dekat dengan PR dan bukan sesuatu yang mengejutkan bila mana kini tiba pula giliran Psy diancam keselamatan nyawanya.

Tindakan kurang waras penyokong PR itu diakui sedikit sebanyak memalukan negara kita sebagai tuan rumah dan tentunya menjejaskan nama baik negara ini pada mata dunia. Suka atau tidak realiti ini terpaksa kita hadapi selagi pembawaan politik sempit terus menjadi pegangan PR.

Loading...

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini