Anwar Hilang Kelayakan Tanding Di Kajang – Pengamal Undang-Undang - pakdin.my

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita di perkarangan rumahnya di Segambut Dalam, Kuala Lumpur selepas didapati bersalah terhadap kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jumaat malam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita di perkarangan rumahnya di Segambut Dalam, Kuala Lumpur selepas didapati bersalah terhadap kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jumaat malam.

KAJANG: Hasrat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerusi pilihan raya kecil (PRK) Kajang ‘terhalang’ dengan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Pengamal undang-undang Datuk Salehuddin Saidin dalam pandangan peribadinya mengikut undang-undang, berkata Anwar kini tidak boleh menjadi calon di Kajang selaras dengan Perkara 64 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Perkara itu menyatakan seseorang yang disabitkan dengan suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama tempoh lebih setahun atau denda melebihi RM2,000 tidak layak bertanding bagi dipilih ke dalam Dewan Undangan Negeri, berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, malam Jumaat.

Beliau diminta menjelaskan kedudukan Anwar yang mahu bertanding di Kajang pada 23 Mac depan, selepas Mahkamah Rayuan pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lalu.

Salehuddin bagaimanapun menjelaskan bahawa Anwar tidak kehilangan kelayakannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berdasarkan peruntukan Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana di bawah peruntukan itu, kehilangan kelayakan berkuat kuasa selepas pelupusan rayuan, dan Anwar kini mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Dekan Kolej Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Muhamed berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang usaha menghalang Anwar daripada bertanding di Kajang.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada masyarakat yang akan mempersoalkan mengapa keputusan itu dibuat hanya empat hari daripada tarikh penamaan calon PRK Kajang pada Selasa ini.

“Mahkamah adalah satu entiti bebas. Malah jika diingat, kes ini sudah sepatutnya lama dibicara dan diselesaikan, namun tertangguh disebabkan percubaan Anwar untuk menggugurkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari mengetuai pasukan pendakwaan.

“Mana mungkin tarikh mahkamah boleh ditetapkan mengikut tarikh PRK Kajang, memandangkan pilihan raya kecil itu juga diadakan secara tiba-tiba ekoran peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Marthada percaya bahawa kepimpinan pakatan rakyat telah bersedia dengan ‘Pelan B’ jika Anwar dijatuhkan hukuman dan mempunyai calon lain untuk bertanding di Kajang, dan sudah pasti perkara ini akan diumumkan secepat mungkin.

Bagi penganalisis politik Profesor Dr Oh Ei Sun yang juga Felo Kanan S.Rajaratnam School of International Studies Nanyang Technological University, Singapura, Barisan Nasional (BN) kini mempunyai peluang di Kajang.

Namun pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan pakatan rakyat akan cuba memancing undi simpati daripada pengundi dengan ‘bermodalkan’ perkembangan kes itu.

BN menamakan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calonya pada PRK Kajang.

UTAMABERITAAnwar Hilang Kelayakan Tanding Di Kajang - Pengamal Undang-Undang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium