Anwar Ibrahim desak Zeti beri penjelasan terima wang 1MDB luar pesisir - pakdin.my

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menuntut bekas gabenor Bank Negara tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan bahawa ahli keluarganya menerima wang 1MDB menerusi akaun mereka di Singapura.

“Beliau (Zeti) mesti memberi penjelasan tentang sebarang pengetahuan yang beliau ada saat kes 1MDB terdedah, dan apakah ahli-ahli keluarganya turut mendapat manfaat kewangan hasil dari kesepakatan dengan Jho Low,” kata Anwar.

“Kegagalan untuk menjawab persoalan-persoalan ini akan mewujudkan prasangka dan keraguan terhadap integriti pengawal selia kewangan di negara ini,” tambah Anwar.

Beliau berkata skandal 1MDB tidak mungkin berlaku “tanpa persetujuan dari pelbagai lembaga kewangan dan peraturan.”

Anwar berkata maklumat terkini berhubung kemungkinan keterlibatan Zeti dalam skandal 1MDB ini adalah berkait dengan pembekuan wang yang berasal dari dana haram 1MDB oleh pihak berkuasa di Singapura.

“Akaun-akaun luar pesisir yang berdaftar memberi petunjuk bahawa ia adalah milik ahli-ahli keluarga Zeti,” kata Anwar.

Beliau yang juga presiden PKR berkata Zeti harus segera mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini terkait pengetahuannya tentang aliran dana haram 1MDB.

Zeti juga perlu menjelaskan kenapa sebagai gabenor BNM, “beliau telah dengan sedar” membenarkan aliran dan transaksi masuk dan keluar dari akaun-akaun bank di Malaysia yang dimiliki oleh pemain-pemain politik,” kata Anwar.

Anwar berkata pertuduhan terbaru mengaitkan keluarga Zeti dalam kes 1MDB yang melibatkan transaksi dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, dan bank-bank di negara jiran Singapura menampakkan Malaysia masih jauh dalam mencari jalan keluar dari skandal berkenaan.

Anwar berkata mereka yang bersekongkol mesti juga bertanggungjawab kerana “tidak mungkin skandal maha dahsyat ini terwujud tanpa persetujuan dari pelbagai lembaga kewangan dan peraturan.”

Beliau berkata imej dan reputasi buruk kepada negara kesan dari skandal ini masih belum pulih sepenuhnya dan menegaskan keperluan “mereka yang mendapat faedah dan laba dari kes 1MDB ini mesti dibawa ke muka pengadilan.”

Anwar berkata kegagalan menghadapkan mereka ke muka pengadilan juga akan meletakkan Malaysia dalam keadaan terdedah kepada skandal semacam 1MDB di masa hadapan.

“Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai bahan gurau senda tatkala kita gah berbicara soal ketelusan, kebertanggungjawaban, dan melawan rasuah,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan Singapura juga harus tampil dan memberi penjelasan kerana skandal ini akan memberi impak buruk kepada reputasi republik itu sebagai pusat kewangan terkemuka.

Anwar berkata banyak negara telah mengambil tindakan ke atas bank dan pegawai eksekutif yang terbabit dalam skandal 1MDB namun di Malaysia “tempat asal dana haram ini, masih belum berbuat apa-apa yang ketara dan meyakinkan.”

Sebelum itu, MalaysiaToday, yang dikendalikan penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa ahli keluarga Zeti, termasuk suami dan anaknya menerima dana lebih RM100 juta daripada Low, yang didakwa dalang skandal 1MDB.

Menurut catatan blog itu, ahli keluarga Zeti didakwa membuat akuan bersumpah (SD), di mana mereka didakwa mengaku menerima wang berjuta dalam akaun bank Singapura yang datang daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan Low.

Laporan itu turut diungkit oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang meminta Zeti membuat penjelasan setelah mendakwa sebelum ini bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai pengaliran wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau (Najib).

Najib mendakwa Zeti sendiri yang menasihati beliau menyalurkan dana itu ke akaun peribadi beliau, sesuatu yang dinafikan oleh bekas gabenor BNM itu.

UTAMABERITAAnwar Ibrahim desak Zeti beri penjelasan terima wang 1MDB luar pesisir

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium