24.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 9, 2021

Argentina Mara Ke Separuh Akhir Kali Pertama Sejak 1990 – Tewaskan Belgium 1-0 #PialaDunia2014

pialadunia2014-argentina-belgium-3
ARGENTINA 1 (Gonzalo Higuain, m-8)
BELGIUM 0

BRASILIA: Argentina melangkah ke separuh akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 24 tahun selepas menewaskan Belgium 1-0 hasil jaringan tunggal penyerang, Gonzalo Higuain pada awal babak pertama perlawanan, sebentar tadi.

Hasil gerakannya bersama pemain terbaik dunia lima kali, Lionel Messi, Higuain berjaya melepaskan rembatan voley menarik seawal minit kelapan perlawanan yang menewaskan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Ia gol pertama penyerang Real Madrid itu dalam Piala Dunia kali ini malah hampir menambah gol kedua pada babak kedua namun rembatannya selepas berjaya memperdaya pertahanan lawan, sekadar menggegar palang.

Tertekan dengan jaringan Argentina, Belgium yang nampak tenang pada babak pertama menambah tekanan pada separuh masa kedua namun rentetan cubaan termasuk daripada Kevin Mirallas, Marouane Fellaini dan Eden Hazard tidak berjaya menghasilkan jaringan.
Malah percubaan Belgium yang dihuni ramai pemain berbakat untuk menambah kekuatan di bahagian serangan dengan memasukkan penyerang, Romelu Lukaku juga tidak membuahkan hasil.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Argentina sekali lagi memperoleh peluang terbaik menambah jaringan kali ini menerusi Messi namun gerakannya berjaya dihalang Courtois.

Kali terakhir Argentina berada di pentas separuh akhir adalah pada 1990 sebelum tewas kepada Jerman di final.

Lawan Argentina akan ditentukan menerusi perlawanan di antara Costa Rica dan Belanda yang dijadual berlangsung 4 pagi ini.

 

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.