Terpulang DAP Mahu Keluar Pakatan, Saya Tetap Mahu Laksana Hudud, Kata Nik Aziz - pakdin.my

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada gabungan pembangkang jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Abdul Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

“Saya tetap dengan Islam kerana benda (perkara) ini wujud pada tahun 50-an lagi dan bukannya benda baru. Berdialog beberapa kali berdialog dah.

“Nak jumpa beberapa kali jumpa dah. DAP dah (pernah) keluar sekali dah, pada masa (gabungan pembangkang dalam) Angkatan Perpaduan Ummah (APU), saya kata bye-bye (selamat tinggal) tak apa. Sekarang dia (DAP) masuk balik…itu dia (DAP) punya pasallah (jika DAP mahu keluar),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Kursus Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, Khamis.

Nik Abdul Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan negara.

Sebelum ini, Nik Abdul Aziz juga turut menolak pandangan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah S.W.T ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah S.W.T dan bukannya manusia.

“Kalau tidak mahu (laksana hukum Islam) buat bumi sendiri. Selagi tumpang bumi Allah S.W.T, agama rasmi adalah Islam. Kalau tidak buat udara sendiri, jangan tumpang udara Allah. Di Kelantan kita jemput semua pemimpin bukan Islam datang dan kita berdialog.

“Kalau DAP berkeras tidak usah, sebelum keras kita berdialog dulu. Kenapa keras tidak mahu berlembut. Tak kena di mana,” katanya.

Justeru Nik Abdul Aziz mempersoalkan rasionalnya untuk bertemu DAP lagi semata-mata mahu menjelaskan perkara itu sedangkan parti itu mengetahui PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

Berita berkaitan:
Hukum Hudud Di Kelantan: PR Terkejut Anwar Sokong Nik Aziz

UTAMABERITATerpulang DAP Mahu Keluar Pakatan, Saya Tetap Mahu Laksana Hudud, Kata Nik...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium