Artis Perlu Ambil ‘Kesempatan’, Jangan Hanya Jadi Alat Kempen Parti Politik - pakdin.my

Jurey Latiff Rosli
Jurey Latiff Rosli

DEMAN Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) bertambah hebat apabila parlimen dibubarkan pada 3 April lalu.

Parti politik mula rancak mempersiapkan jentera menjalankan kempen perang saraf secara agresif dengan matlamat mendekati seberapa ramai rakyat dalam memberikan penerangan manifesto perjuangan parti masing-masing.

Salah satu daya tarikan berkempen adalah menggunakan artis untuk menarik minat orang ramai.

Peranan artis ini dilihat amat berkesan apabila kedua-dua belah pihak iaitu pihak pembangkang dan kerajaan membawa artis yang menyokong perjuangan mereka untuk berkempen, berceramah dan mengadakan persembahan bagi menarik kehadiran orang ramai.

Sumbangan artis dalam konteks ini tidak boleh dinafikan keberkesanannya. Dalam situasi demam PRU13 ini, para artis perlu memainkan peranan mereka dengan mendesak pemimpin parti politik agar dapat menyelesaikan masalah industri hiburan yang masih belum diatasi ketika berkempen bersama-sama mereka.

Ia seperti masalah hak cipta, royalti, ulang siar,harga bayaran program televisyen tempatan, tabung pencen dan lain-lain.

Golongan artis ini seharusnya bukan sekadar terlibat untuk menyertai kempen atas faktor memperoleh sumber kewangan sebaliknya mereka harus sedar mereka tidak hanya dijadikan ‘alat’ meraih sokongan.

Mereka perlu tahu peranan yang seharusnya dimainkan dalam usaha mengubah landskap industri hiburan demi sebuah industri yg lebih kondusif untuk semua penggiat seni hiburan tempatan.

Kesedaran golongan artis ini untuk sebuah perjuangan adalah sangat-sangat diperlukan kerana nasib dan masa depan industri seni hanya akan berubah kalau mereka sendiri yang bangun untuk membuat perubahan tersebut dan bukan mengharapkan orang lain untuk melakukannya.

Kini tiba masanya kita meletakkan golongan insan seni pada tahap sepatutnya kerana kita juga adalah penyumbang kepada pembentukan negara melalui hasil karya kreatif yang dilakukan.

Kita juga mempunyai pengaruh dan kuasa untuk mencorakkan senario politik tempatan.

Artis bukan hanya digunakan sekadar untuk memenangi pilihan raya dan bersifat kerjasama sementara tetapi golongan ini harus diperakui turut menjadi penggerak terhadap kejayaan sebuah negara.

Fahami masalah golongan ini dengan membuat perubahan sewajarnya. Kita mahu melihat keikhlasan dan kesanggupan pihak parti politik dalam membela nasib penggiat industri hiburan tempatan yang rata-ratanya masih berada pada tahap menyedihkan, tidak kiralah kerajaan manakah yang bakal memerintah.

Bantuan bersifat sementara tidak menyelesaikan masalah yang masih banyak tergantung dalam industri ketika ini.

Pada dasarnya parti politik dan golongan seni berpisah tiada dan kami saling perlu memerlukan untuk sebuah kerjasama berpanjangan.

Keperluan segera terhadap transformasi industri hiburan yang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin amat diperlukan agar kami tidak perlu lagi tunduk kepada ‘budak besar’ seperti Astro dan Media Prima Berhad yang menguasai industri kandungan kreatif tempatan ketika ini.

* Penulis adalah Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

UTAMAPOLITIKArtis Perlu Ambil 'Kesempatan', Jangan Hanya Jadi Alat Kempen Parti Politik

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium