AS agih vaksin bukan untuk imbuhan politik – Sherman #pakdin.my

Amerika Syarikat (AS) tidak mengagihkan vaksin COVID-19 kepada pelbagai negara dunia demi mendapatkan imbuhan politik, kata Timbalan Setiausaha Negara, Wendy R. Sherman.

Beliau berkata, pengagihan vaksin itu dibuat berdasarkan kepada keperluan.

Atas dasar itu katanya, AS yang ketika ini menjadi penyumbang terbesar COVAX, komited untuk membantu kemudahan itu dalam memastikan vaksin yang mencukupi dapat diagihkan kepada semua negara.

Beliau berkata, AS juga komited menyediakan 18 juta dos vaksin kepada mereka yang memerlukan ketika proses pengeluaran vaksin itu ditingkatkan.

“Pentadbiran Biden memutuskan apakah cara terbaik untuk kami agihkan. Kami tidak mengagihkan vaksin untuk mendapat imbuhan politik, kami mengagihkannya atas dasar keperluan dan saya jangka sejumlah besar akan perlu ke COVAX kerana COVAX akan cuba memastikan agihan vaksin yang saksama,” katanya pada taklimat menerusi sidang maya dengan media Asia dari Bangkok, pada Selasa.

Sherman ketika ini dalam rangka lawatan ke Asia Tenggara dan sebelum berada di Bangkok, beliau melawat Indonesia dan Kemboja.

COVAX atau Akses Global Vaksin COVID-19 adalah inisiatif yang diterajui Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Gavi, sebuah pertubuhan perikatan vaksin.

Sehingga kini COVAX sudah pun menghantar lebih 77 juta vaksin kepada 127 negara.

“Jadi kami berusaha setakat apa yang kami terdaya, perkara terbaik yang boleh kami lakukan adalah mengakui sepenuhnya hakikat bahawa tiada siapa yang selamat termasuk AS selagi semua orang belum selamat,” katanya.

Pada Februari, Presiden Joe Biden berikrar peruntukan US$4 bilion untuk program vaksin COVID-19 global menerusi sumbangan serta merta sebanyak US$2 bilion manakala US$2 bilion lagi akan disalurkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

— BERNAMA

Berkaitan