Saturday - July 31, 2021 @ 11:40
BERITANASIONALAsrama Maahad Darul Quran dekat Masjid Rusila hangus

Asrama Maahad Darul Quran dekat Masjid Rusila hangus

Asrama Maahad Darul Quran hangusMARANG – Sebuah bangunan asrama pelajar Maahad Darul Quran dekat Masjid Rusila di sini, terbakar menyebabkan pelbagai kelengkapan termasuk buku serta barang-barang peribadi milik pelajar pusat pengajian itu hangus terbakar sama sekali.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, seramai 90 pelajar berusia 13 dan 14 tahun yang ditempatkan di asrama berkenaan terselamat berikutan ketika kejadian, pelajar terbabit sedang mengikuti kelas mereka di bangunan berdekatan.

Kebakaran disedari Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu berada di sebuah bangunan berdekatan, termasuk seorang guru bahasa Inggeris, Akmal Hamzah, 30.

Abdul Hadi bergegas ke tempat kejadian manakala Akmal yang pada mulanya menyangka asap tebal memenuhi ruang udara itu adalah berpunca daripada pembakaran sampah, terus menghubungi pasukan bomba dan penyelamat daerah.

Abdul Hadi ketika ditemui berkata, beliau berada tidak jauh dari tempat kejadian sebelum terhidu bau asap dan melihat asap tebal, namun tidak dapat memastikan bangunan yangterbakar kerana kedudukan bangunan rapat di antara satu sama lain.

“Kejadian kebakaran berlaku terlalu pantas, kami yang berada di tempat kejadian itu tidak mampu untuk menyelamatkan apa-apa namun penduduk setempat tetap bertungkus lumus untuk memadam kebakaran kerana bimbang ia merebak.

“Saya bersyukur kerana tiada siapa yang cedera kerana ketika kejadian, pelajar terbabit berada di dalam kelas tetapi pihak pengurusan tetap membuat pemeriksaan takut jika ada pelajar uzur (sakit) di bilik asrama itu,” katanya kepada pemberita.

Pelajar dibenar bercuti awal

ABDUL HADI yang juga Ahli Parlimen Marang dan penasihat sekolah berkenaan berkata, sekolah tersebut mula beroperasi sejak 1985 dan ketika ini seramai 900 pelajar tingkatan satu hingga menengah atas tinggal dan belajar di situ.

“Bangunan asrama yang musnah dalam kebakaran akan dibina semula dalam masa terdekat dengan bantuan derma serta gotong-royong, manakala pelajar dibenarkan bercuti awal dan pulang ke rumah masing-masing semalam sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Zamri Awang Long berkata, seramai 25 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba Marang dan Balai Bomba
Kuala Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal api.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya. Dalam pada itu, Timbalan Mudir Maahad Darul Quran, Ustaz Hamzah Ngah berkata, pihaknya sudah membuat
satu laporan polis berhubung kejadian kebakaran bangunan itu dan menganggarkan kerugian berjumlah kira-kira RM200,000.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa juga melawat tempat kejadian selepas pihaknya menerima laporan. Beliau diiringi Ketua Polis Daerah Marang, Deputi
Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya serta pihak pengurusan Maahad Darul Quran.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here