Azhar nafi tolak usul mengosongkan jawatan Speaker Dewan Rakyat - pakdin.my

KUALA LUMPUR — Datuk Azhar Azizan Harun nafi dakwaan bahawa beliau menolak usul supaya meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat daripada dibahas di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, beliau mengakui pejabatnya telah menerima usul berkenaan daripada beberapa pengusul, namun telah mengutus surat kepada semua pengusul bahawa beliau tidak akan membuat sebarang keputusan mengenainya kerana terdapat pencanggahan kepentingan.

Beliau berkata keputusan mengenai usul berkenaan yang mencadangkan beliau mengosongkan jawatan dan individu lain dilantik menggantikannya diserahkan kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

“Saya tidak pernah mengambil bahagian dalam apa cara sekalipun atau campur tangan dalam apa-apa keputusan mengenai usul tersebut. Malah saya tidak tahu menahu mengenai apa-apa keputusan yang mungkin telah dibuat Timbalan Yang di-Pertua mengenai usul-usul tersebut,” katanya.

Azhar berkata demikian merujuk kepada laporan akhbar tempatan semalam bahawa usul menukar speaker berkenaan ditolak.

Beliau berkata laporan berkenaan yang mendakwanya mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas dan mempunyai unsur ‘innuendo’ (sindiran) bahawa ia ditolak oleh beliau adalah tidak benar, bersifat fitnah dan dibuat dengan niat menjatuhkannya.

“Saya akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rashid ketika dihubungi Bernama berkata usul berkenaan sekiranya diluluskan akan dipaparkan dalam Aturan Mesyuarat pada hari persidangan Dewan Rakyat kelak.

Beliau berkata pihaknya akan mempertimbangkan sama ada usul yang dimohon dipertimbangkan mematuhi Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Setiap pengusul juga akan mendapat maklum balas terlebih dahulu mengenai kelulusan usul mereka,” katanya.

UTAMABERITAAzhar nafi tolak usul mengosongkan jawatan Speaker Dewan Rakyat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium