Azmin ‘dipertimbang’ jika mohon masuk PPBM, kata Dr Mahathir 

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak andaian Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinannya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata kehadiran Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR serta beberapa pimpinan parti itu pada sambutan ulang tahun ketiga PPBM di Shah Alam pada Khamis lepas bukan petanda mereka akan menyertai PPBM. 

Menurutnya, kehadiran pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Mohamed Azmin pada sambutan ulang tahun itu adalah atas jemputan kepada pemimpin utama parti.

“Ramai (yang) datang tapi mereka tidak menyatakan hasrat untuk menyertai PPBM,” kata Dr Mahathir yang ditemui selepas menyaksikan acara The Putrajaya Boat Race 2019, pertandingan mendayung perahu, di sini semalam.

“Azmin pun tidak buat apa-apa permohonan. Kalau ada permohonan, kita pertimbanglah,” katanya mengulas spekulasi Mohamed Azmin mungkin menyertai PPBM selepas beliau dilihat hadir pada sambutan ulang tahun PPBM. 

Mengenai Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno dan PAS kelmarin, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata beliau tidak faham bagaimana kedua-dua parti itu boleh bekerjasama.

“Saya tidak faham bagaimana Umno boleh bekerjasama dengan PAS kerana Umno kafir,” kata beliau merujuk kepada kenyataan PAS sebelum ini yang melabelkan Umno sebagai parti kafir.

Ditanya mengenai kenyataan pemimpin parti tersebut bahawa kerjasama itu bukan mengenai sentimen perkauman dan agama, Dr Mahathir berkata: ‘Selalunya mengenai kaum dan agama. (Tetapi) Jika untuk membangkitkan perasaan perkauman, saya rasa itu salah.

Kelmarin, Umno dan PAS memeterai piagam kerjasama yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya pada perhimpunan itu menyeru semua pihak agar tidak perlu bimbang terhadap penyatuan dalam kalangan orang Melayu yang dianjurkan PAS dan Umno, kerana Islam bermula dengan membina integriti individu, keluarga, bangsa dan negara bermasyarakat majmuk.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya pula dilaporkan berkata Umno dan PAS tidak perlu terperangkap dalam “politik perkauman sempit” kerana ia bercanggah dengan fitrah Islam yang menganjurkan kesederhanaan dan menghormati agama lain selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Negara. — Bernama

Loading...