Bagaimana lantik PM ke-8? - pakdin.my

Manifesto bukan kitab suci. Dalam banyak janji yang tertera di dalam manifesto Pakatan Harapan, janji yang paling diambil berat oleh kalangan pimpinannya ialah menyerahkan tugas perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim, yang tidak dinyatakan secara terperinci 2 persoalan paling penting, iaitu bila ia sepatutnya berlaku dan bagaimana ia akan berlaku.

Bila ia sepatutnya berlaku?

Mengikut kumpulan pro-Anwar, ia sepatutnya berlaku ketika genap 2 tahun PH memerintah negara. Ini bermaksud Mahathir sepatutnya berundur Mei ini dan diganti dengan Anwar. Oleh itu, saban hari ada saja kedengaran desakan agar Mahathir menepati janji menyerahkan kuasa kepada Anwar secepat mungkin.

Mengikut kumpulan pro-Mahathir pula, tiada tarikh penyerahan kuasa yang pernah dipersetujui, segalanya terpulang kepada Mahathir yang akan menentukan bila beliau harus berundur.

Mahathir pernah berkata, beliau sedia berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November nanti. Namun, setakat ini tiada kata putus.

Apapun, setakat ini Mahathir berulang kali berjanji akan menepati janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi apa syaratnya?

Ini membawa kepada persoalan ke-2, bagaimana penyerahan kuasa ini akan berlaku?

Syarat utama untuk seseorang dilantik sebagai perdana menteri mestilah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, meskipun ia daripada parti yang mempunyai bilangan ahli Parlimen sedikit. Tidak semestinya seseorang perdana menteri itu perlu datang daripada parti yang mempunyai bilangan ahli Parlimen terbanyak.

Lazimnya, gabungan parti politik yang menjadi kerajaan kerana memiliki lebih 112 kerusi Parlimen akan mendokong seseorang untuk menjadi perdana menteri. Pihak pembangkang terpaksa menerima calon tersebut jika calon itu disokong secara penuh oleh gabungan parti politik yang menganggotai kerajaan.

PH dan Warisan yang menguasai kerajaan kini mempunyai 128 kerusi Parlimen.

Oleh itu, jika Mahathir berundur dengan meletak jawatan dan menyerahkannya kepada Anwar, dan Anwar mendapat sokongan penuh 128 ahli Parlimen PH dan Warisan, maka sudah pastinya jawatan perdana menteri akan menjadi milik Anwar.

Tetapi, jika ketika Mahathir ingin berundur dan lebih 16 ahli Parlimen PH dan Warisan tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri, maka Anwar tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri dengan penyerahan kuasa begitu saja.

Untuk menjadi perdana menteri, Anwar perlu mendapat mandat daripada kalangan ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat untuk mencukupkan sokongan 112 ahli Parlimen untuk beliau menerajui negara.

Jika Anwar berjaya menjadi perdana menteri kerana campuran sokongan separa PH, Warisan dan pembangkang, maka satu kerajaan baru akan terbentuk.

Mereka daripada kalangan PH dan Warisan yang tidak menyokongnya akan menjadi pembangkang, manakala mereka daripada kalangan pembangkang yang menyokongnya akan diserap menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Jika Anwar tetap gagal mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat, maka Mahathir terpaksa meneruskan tugas sebagai perdana menteri sehinggalah muncul ahli Parlimen yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya sokongan 112 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Tetapi, semua ini hanyalah hipotesis kerana Anwar berulang kali menyatakan beliau mempunyai angka mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Oleh itu, tiada apa yang perlu dirisaukan kumpulan pro-Anwar. Jika Mahathir enggan berundur, Anwar boleh saja mengusulkan undi tidak percaya kepadanya dan Mahathir sudah pasti akan digulingkan.

Bagi kumpulan pro-Anwar yang tidak sabar-sabar menanti hari Anwar menjadi perdana menteri, sebenarnya cadangan PAS untuk mengemukakan usul undi percaya kepada Mahathir adalah peluang untuk Anwar menunjukkan sokongannya di sesi Parlimen akan datang.

Mahathir tidak boleh berdalih lagi jika beliau tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan beliau perlu berundur segera.

Jika Mahathir tetap mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat daripada PH dan Warisan, maka kerajaan PH akan terus kekal dengan Mahathir sebagai perdana menteri sehinggalah beliau ingin berundur, dengan syarat dapat menyerahkan jawatan kepada calon yang boleh mendapat sokongan padu PH dan Warisan ataupun sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Tetapi, sekiranya Mahathir yang menang undian di Dewan Rakyat dengan campuran sokongan separa PH dan Warisan dan sebahagian sokongan itu datang daripada pembangkang, ini bermakna jawatan perdana menteri ke-8 akan terus kekal di tangan Mahathir dengan tertubuhnya kerajaan baru dianggotai mereka yang menyokongnya dan pembangkang baru terdiri daripada mereka yang menentangnya sebagai perdana menteri.

Melihat nasib janji menghapuskan tol yang kini menjadi janji melanjutkan tol sebanyak 20 tahun, apakah nasib yang menanti janji penyerahan kuasa perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar?

Oleh Timmy Say

UTAMAPOLITIKBagaimana lantik PM ke-8?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium