Bajet 2022: Angkat peranan wanita, penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara – Noraini #pakdin.my

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia menyambut baik keprihatinan dan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memperkasakan peranan wanita melalui inisiatif-inisiatif diberikan dalam Bajet 2022 bertepatan dengan temanya “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata bajet kali ini jelas telah mengangkat dan mengupaya kemampuan wanita sebagai daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara dengan melebarkan struktur atau persekitaran pekerjaan bagi wanita. “Keputusan kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti untuk mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam merupakan satu langkah tepat dalam mengiktiraf penyertaan wanita dalam pembuat keputusan.

“Penglibatan wanita dalam sektor ekonomi juga telah diperluaskan dengan beberapa inisiatif telah diambil untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan dan menggalakkan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa.

“Antaranya peruntukan sebanyak RM230 juta dana pembiayaan perniagaan akan disediakan melalui Program DANANITA di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUNITA di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), selain daripada Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah. Penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan ini sudah tentu dapat mengubah nasib dan mengukuhkan keadaan ekonomi keluarga yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata melalui belanjawan ini kaum ibu yang berkerjaya juga turut dibantu dengan sistem sokongan yang ditambah baik dengan peruntukan RM30 juta untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan kerajaan, terutamanya di hospital dan universiti awam.

“Malah, kerajaan juga menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat dengan memberikan insentif cukai dan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat 1 pejabat. Pelepasan cukai pendapatan individu untuk wanita berkerjaya sehingga 3 ribu ringgit bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.

“Selain daripada inisiatif pengupayaan wanita dalam sektor ekonomi, kerajaan juga peka dengan kebajikan dan kesihatan untuk wanita dengan beberapa inisiatif seperti memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita, menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan NGO untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita.

“Kerajaan juga memberikan subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita dan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40,” katanya.

Berkaitan