Bajet terbesar, tapi bagaimana ia akan dibiayai? #pakdin.my

Seorang pensyarah kanan mempersoalkan daripada mana kerajaan akan memperoleh dana secukupnya untuk membiayai Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion.

Nur Ain Shahrier dari Universiti Sunway berkata, bajet itu adalah paling tinggi dalam sejarah negara.

“Bajet ini memberi fokus utama kepada pemulihan ekonomi daripada wabak Covid-19 dan membina ketahanan negara dalam menghadapi masa depan tidak menentu,” katanya.

Ia juga untuk melaksanakan pembaharuan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi jangka panjang selain mengwujudkan pekerjaan, tambah beliau.

Beliau berkata, Bajet 2022 mencatatkan peningkatan 24% dalam perbelanjaan pembangunan dan 76% dalam perbelanjaan pengurusan.

“Adalah baik jika ada pencerahan bagaimana kerajan merancang untuk menjana pendapatan tambahan untuk menampung defisit fiskal, selain daripada memperoleh dividen daripada Petronas dan mengenakan cukai ke atas produk gula dan nikotin,” katanya.

Nur Ain berkata, pertumbuhan ekonomi tidak boleh dijana hanya menerusi pendekatan jangka pendek seperti pakej rangsangan.

Ia turut memerlukan masalah jangka panjang struktur asas ekonomi ditangani dengan berkesan, termasuk pembangunan sumber manusia, pendidikan, pembangunan prasarana, teknologi dan produktiviti, katanya.

Beliau berkata, negara hanya dapat menguruskan hutangnya apabila pertumbuhan ekonomi adalah secara berterusan dan melebihi tahap pinjaman fiskal negara.

Semalam, Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata keadaan kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang adalah membimbangkan.

“Separuh daripada hutang baharu digunakan untuk membayar hutang yang telah matang, sepatutnya ia dibayar dengan lebihan hasil yang ada.

“Namun kita faham, pada 2020 negara menghadapi ancaman Covid-19 dan kerajaan terpaksa mengambil langkah membantu sistem kesihatan dan rakyat untuk menangani Covid-19,” katanya.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), RM98 bilion atau 50.4% daripada keseluruhan RM194.555 bilion pinjaman baharu kerajaan digunakan untuk tujuan membayar balik prinsipal hutang bagi 2020.

Jumlah itu meningkat RM15.335 bilion berbanding RM82.723 bilion pada 2019.

Berkaitan