Bangkitkan Semangat Merdeka Generasi Muda #Merdeka55

Tanggal 31 Ogos, Jumaat ini, negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-55, ketika masyarakat Islam masih dalam suasana kemeriahan Syawal.

Setiap kali meraikan hari yang bersejarah itu, yang terlintas dalam fikiran tentunya cara sambutan, penghayatan, semangat, patriotisme dan perayaan yang berkaitan. Ia tentu tidak dapat lari daripada nostalgia dan sejarah terutama usaha yang dilakukan para pejuang negara yang berkorban nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan.

Perubahan zaman dan masa menyebabkan sejarah itu semakin dipandang sepi terutama dalam kalangan generasi muda hari ini hingga ada yang menyatakan generasi muda atau generasi Y tidak patriotisme.

Sambutan dingin mereka untuk bersama-sama mengibarkan bendera dan menyertai sebarang aktiviti sambutan kemerdekaan menyebabkan mereka dikatakan tidak mempunyai semangat cintakan negara.

KENAPA DILIHAT TIDAK PATRIOTIK?

Selain mengingati tarikh 31 Ogos, sambutan kemerdekaan membawa pengertian yang cukup meluas dengan semangat dan nilai-nilai tertentu.

Dalam hal-hal berkaitan terutama tentang sejarah negara bangsa, generasi Y yang berumur antara 13 hingga 33 tahun, yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, lepasan sekolah, pelajar universiti, mereka yang baru membina kerjaya serta pertengahan kerjaya dilihat agak malap dan pudar.

Ini memperlihatkan seolah-olah mereka kurang jati diri, bangsa dan negara kerana setiap individu, bangsa dan negara itu ada sejarahnya tersendiri sama seperti kemerdekaan, menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din.

“Memang fitrah generasi Y kurang meminati sejarah atau perkara-perkara yang nostalgia dan tidak suka kepada perkara-perkara yang mengongkong sebagai contoh kemerdekaan yang sering dikaitkan dengan patriotisme dan sejarah perjuangan pejuang-pejuang terdahulu.

“Selain tidak terlibat pada zaman ketika menuntut kemerdekaan , mereka juga tidak suka sesuatu yang statik seperti sejarah yang tetap dan tidak boleh berubah sifatnya,” katanya kepada Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Perubahan pemikiran dan suasana itu hasil pendidikan, persekitaran dan keadaan semasa yang telah melahirkan generasi muda hari ini yang kreatif, inovatif, tidak jumud dan statik serta tidak suka kepada perkara-perkara yang lama dan perlahan.

Ini menyebabkan mereka tidak dapat menerima cara dan sambutan yang dilihat terbelakang dan terlalu berlatarbelakangkan sejarah sehingga mereka disalah ertikan dan dianggap tidak patriotisme sedangkan kebanyakan mereka meluahkan dengan cara berbeza mengikut acuannya hari ini.

“Mereka adalah generasi teknologi maklumat. Jika dahulu sambut merdeka dengan membawa bendera ke seluruh kampung dan pekan beramai-ramai, Sekarang trend berbeza, kerana zaman sekarang ialah zaman I like, I follow.

“Mereka luahkan melalui alam maya, sedia sosial dan sebagainya yang mana mereka menggunakan media interaktif di atas talian, berbanding zaman dulu di mana interaktif dengan cara bersemuka, melakukan gotong royong dan sebagainya.

MENILAI DARJAH PATRIOTISME

Menyangkal dakwaan generasi Y tidak patriotik, Dr Mohamed Fadzil berkata darjah patriotisme seseorang tidak boleh dinilai melalui cara mereka menyambut kemerdekaan semata-mata.

Patriotisme anak muda tidak boleh dipersoalkan kerana mereka mempunyai asas tersebut melalui sistem pendidikan yang diajar di sekolah dan mereka memahami tentang sambutan hari kemerdekaan yang disambut setiap tahun.

Sikap dingin generasi Y untuk terlibat sama dalam aktiviti sambutan kemerdekaan bukan bermakna mereka tidak patriotik, tetapi mereka tidak mahukan cara yang biasa seperti yang dihidangkan setiap tahun kerana itu bukan jiwa mereka.

“Mereka adalah generasi yang kreatif. Mereka sering berfikir di luar kotak. Jadi untuk menarik mereka agar turut serta haruslah menjadi lebih kreatif kerana mereka tidak suka cara lama yang dilihat ortodoks.

“Setiap kali sambutan, mereka dihidangkan dengan perkara yang sama setiap tahun yang boleh dijangka dengan menonjolkan sejarah perjuangan terdahulu, sedangkan mereka tidak lahir pada zaman itu,” katanya.

Perbezaan itu menyebabkan mereka dilihat mengasingkan diri dan bersikap dingin dalam sebarang aktiviti yang membabitkan kemerdekaan. Bukan bermakna mereka tidak suka tetapi mereka mahu sesuatu yang luar dari kebiasaan, katanya.

“Mengambil contoh pemberian bendera Malaysia. Seharusnya diberikan suntikan yang lebih kreatif yang dekat dengan mereka seperti meletakkan gambar atau logo-logo yang menjadi kebanggaan negara seperti FI dan Petronas, Felda, Airasia atau sebagainya. Mesti mereka suka dan bangga memilikinya.

“Begitu juga dengan semangat patriotisme generasi muda hari ini yang dilihat cukup tinggi dalam sukan. Mungkin boleh letakkan gambar Datuk Lee Chong Wei yang baru memenangi pingat Perak di Olimpik di bawah bendera Malaysia, atau pasukan Harimau Malaya, yang menjadi minat dan kesukaan golongan tersebut,” katanya dengan cara kreatif begini akan mendidik anak muda sayang dan bangga pada bendera dan negara.

Tegasnya, patriotisme bukan hanya menjurus kepada negara dan kerajaan semata-mata sebaliknya merangkumi semua termasuk yang membawa nama Malaysia dalam bidang-bidang tertentu terutama syarikat-syarikat peneraju di Malaysia.

“Ia adalah lambang negara dan apa sahaja yang boleh dijadikan ikon sepatutnya disambut dan diraikan bersama,” katanya.

CARI PENDEKATAN BARU

Dalam tempoh lima tahun lagi, dua pertiga daripada rakyat Malaysia adalah terdiri daripada generasi muda dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk membina dan menyuburkan semangat kemerdekaan dalam kalangan mereka, katanya.

Pendekatan baru harus dirangka bersesuaian dengan kehendak 60 peratus generasi muda hari ini agar penglibatan mereka dapat dirasai dan diisi dengan perkara yang positif serta melenyapkan stigma yang sering dikaitkan dengan mereka.

Mengambil contoh kibarkan bendera. Tidak ramai dalam kalangan generasi muda yang mahu berbuat demikian, tetapi jika di mana-mana blog atau laman web yang meminta memberi ucapan sempena sambutan hari kemerdekaan, pasti ramai yang akan turut meluahkan rasa cinta kepada negara.

“Kerana itu zaman dan cara mereka. Ini semua mungkin daripada proses kehidupan yang dialami, di mana mereka hidup dalam keselesaan, ditatang bagai minyak yang penuh, cara pendidikan dan sebagainya”, katanya.

Ujarnya, generasi hari ini adalah generasi yang suka duduk di satu tempat tetapi mampu menguasai banyak tempat sejauh yang mungkin melalui media-media sosial yang ada seperti facebook dan twitter.

Selain itu sambutan kemerdekaan juga perlu lebih inovatif dan tidak terlalu berfalsafah sehingga tidak difahami terutama logo dan slogan untuk acara sambutan itu.

“Macam tahun ini, slogan “Janji DiTepati”, ringkas dan padat yang boleh difahami oleh semua dan membuatkan ia mudah diingati.

“Cara sambutan juga harus selari dengan minat dan kecenderungan generasi muda serta harus dipelbagaikan dengan cara kreatif asalkan tidak lari daripada semangat kemerdekaan seperti mengadakan larian kemerdekaan dan “battle of the band merdeka” atau sebagainya yang sesuai dengan minat mereka,” katanya.

ANGKAT PERSONALIA GENERASI MUDA

Selain itu elemen personalia juga harus ditekankan dengan mengangkat individu tertentu yang berjaya membawa nilai positif dalam mengisi kemerdekaan dan lari daripada kebiasaan yang sering mengaitkan kemerdekaan dengan golongan pahlawan dan pejuang kemerdekaan.

Tegasnya, sejarah perjuangan terdahulu memang perlu diketahui dan diingati namun dalam masa yang sama harus mengangkat tokoh-tokoh yang berjasa sebagai model buat generasi hari ini.

Dr Mohamed Fadzil berkata ramai tokoh generasi muda yang berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik, kepimpinan tetapi dalam pelbagai perkara termasuk sukan dan sukarelawan.

Ujarnya generasi muda mahu usaha mereka diiktiraf, bukan hanya pada sambutan hari belia atau anugerah sukan sebaliknya pada sambutan kemerdekaan ini harus ditonjolkan usaha generasi Y agar menjadi inspirasi bagi mewujudkan “engagement” mereka kepada kemerdekaan dan negara.

Akhirnya, yang lebih penting ialah suara pemimpin daripada generasi muda perlu didengar dan diberi perhatian.


Comments (No)

Leave a Reply