31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 10, 2021

Banjir luar biasa, bandar Maran tenggelam

MARAN: Keadaan banjir di daerah ini semakin bertambah buruk apabila hampir keseluruhan bandar Maran turut ditenggelami air.

Malah dalam kejadian berkenaan menyaksikan air naik dengan deras menyebabkan premis-premis perniagaan di bandar itu mula ditenggelami air kira-kira pukul 4 pagi.

Seorang penduduk, Zafril Nasir, 40, berkata, banjir yang berlaku di bandar Maran berlaku begitu cepat sekali akibat limpahan air Sungai Maran.

“Banjir kali ini amat luar biasa sekali kerana air naik begitu cepat sekali yang mana pada pukul 3 pagi air sungai mula naik sebelum melimpah ke bandar pada kira-kira pukul 4 pagi.

“Selain banjir besar pada 2014, bandar Maran tidak pernah dinaiki air dan ini amat mengejutkan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zafril, banyak laluan ke bandar Maran turut terputus menyebabkan penduduk termasuk dari Jengka tidak dapat ke bandar itu.

Katanya, pada masa ini cuaca masih hujan dan air masih menunjukkan trend menaik.

Sementara itu, Ketua Angkatan Pertahanan Awam (APM) Maran, Nurul Ashikin Mohd. Anuar berkata, sehingga kini jumlah mangsa banjir yang direkodkan di daerah ini sebanyak 162 orang.

Katanya, kawasan yang terlibat banjir ialah Kampung Jara, Taman Sri Chedong, Kampung Paya Chedong dan Kampung Berkat.

“Seramai 44 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Jara manakala 118 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran,” ujarnya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.