Sunday, June 20, 2021

Krisis Air Selangor: Batal Perjanjian Dorong Kenaikan Tarif – Bekas MB

Must Read

azmin-batal-perjanjian-air 400px

Tindakan kerajaan Selangor membatalkan perjanjian penstrukturan industri air dengan Putrajaya akan menyebabkan syarikat konsesi menaikkan tarif air sebanyak 52 peratus tahun ini seperti yang dibenarkan dalam Perjanjian Penswastaan, kata bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata tindakan itu juga akan menutup peluang kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air yang selama ini telah mengaut keuntungan tidak munasabah atas kesusahan rakyat yang menanggung tarif air tinggi.

Tambahnya, keadaan akan menjadi lebih buruk apabila kerajaan negeri pula perlu membayar tunggakan kenaikan tarif air sebanyak RM2 bilion kepada syarikat-syarikat konsesi itu mengikut perjanjian penswastaan yang disifatkan sebagai berat sebelah itu.

“Tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air, kerajaan Selangor kemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu air setiap bulan yang dilaksanakan sejak Jun 2008 kerana kekurangan dana.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan Selangor akan mengalami kerugian besar sekiranya tidak meneruskan rundingan tersebut dan saya amat berharap kepimpinan kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan yang akan dilakukan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Abdul Khalid berkata tindakan kerajaan negeri mengeluarkan lesen operasi air bersih kepada Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) juga dilihat bercanggah dengan usaha untuk menjadikan rakyat Selangor sebagai pemilik mutlak industri air apabila penstrukturan itu dimuktamadkan.

Menyifatkan pengambilalihan ekuiti empat konsesi air sepatutnya tidak melebihi RM9.65 bilion seperti dipersetujui sebelum ini, Abdul Khalid berkata langkah yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali itu akan mengakibatkan rakyat Selangor terpaksa membayar lebih daripada jumlah tersebut.

Katanya langkah itu juga dilihat seolah-olah merompak hasil kekayaan rakyat Selangor malah terus mengayakan syarikat konsesi jika harga yang ditawarkan melebihi jumlah itu.

Menurut anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu lagi, isu pemilikan tanah yang kononnya dinyatakan sebagai alasan kerajaan Selangor membatalkan perjanjian air dilihat boleh diselesaikan, jika semua pertikaian itu dibawa ke meja rundingan.

Katanya Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili dalam satu pertemuan dengannya Rabu lepas memberi jaminan akan berusaha melaksanakan perjanjian itu bagi memberi laluan kepada penyelesaian isu air secara holistik seperti yang dihasratkan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Bagi pihak rakyat Selangor, saya menyeru kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat menyelesaikan sebarang pertikaian bagi memastikan Perjanjian Utama (HOA) penyusunan semula industri air Selangor yang telah ditandatangani pada tahun lalu dapat diteruskan,” kata Abdul Khalid.

Pada Isnin lepas, kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air dengan Putrajaya kerana menurut Azmin, kerajaan persekutuan gagal mematuhi beberapa terma perjanjian, yang ditandatangani kedua-dua pihak tahun lepas.

Keputusan itu dikhuatiri bakal menjejaskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang fasa pertamanya dijadual siap pada 2017 untuk menyediakan air terawat kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berikutan itu, Ongkili pula berkata perjanjian penstrukturan air di Selangor terlupus kerana keengganan kerajaan negeri menangani tiga daripada lapan syarat dalam perjanjian utama dengan kerajaan persekutuan.

- Advertisement -spot_img

Leave a Reply

- Advertisement -spot_img
Latest News

Polisi tutup Kelab “Fable” lantaran hendak buka pada tengah malam

Jakarta (ANTARA) - Petugas Direktorat Reserse Narkoba Polda Metro Jaya menegur dan menutup Kelab "Fable" yang berlokasi di kawasan...
- Advertisement -spot_img

More Articles Like This

- Advertisement -spot_img