Batik Sarawak Semakin Popular Kerana Keunikannya

batik-sarawak

Kalau hendak diikutkan, seni pembuatan batik Sarawak tidak ada bezanya dengan batik Kelantan atau Terengganu.

Harganya pula tidak dapat menandingi batik yang diimport dari Indonesia, China, India atau Korea.

Bagaimanapun, keaslian dalam coraknya yang mengetengahkan motif etnik menjadikan batik Sarawak unik berbanding batik lain.

Perkara inilah yang ditegaskan oleh Azran Arip, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak (Kraf Sarawak).

SENI BATIK

Menurut Azran, seni batik merujuk kepada kaedah reka bentuk dan pencorakan tekstil yang diasaskan daripada penggunaan lilin dan bahan pewarna, sama ada dilukis secara bebas menggunakan ‘canting’ mahupun yang diterap menggunakan blok motif ke permukaan tekstil.

Keistimewaan dan keunikan seni batik terletak kepada ciri yang berlainan bagi setiap corak dan kesan yang terhasil.

Keadaan itu, tambahnya menjadikan tidak ada sehelai batik yang sama dengan yang lain walau apa pun cara pembuatannya.

Batik ialah satu daripada seni tradisi budaya yang lahir dan berkembang di kepulauan Melayu.

Cara pakaian penduduknya mengandungi makna simbolik yang tinggi dengan motif etnik dan penggunaannya pada satu ketika dahulu mencerminkan status sosial pemakai dalam masyarakat daerah tertentu.

HASIL TANGAN SEBENAR SARAWAK

Menurut Azran, terdapat sekitar lima pengusaha batik yang menawarkan batik Sarawak di bumi Kenyalang ini iaitu dua di Kuching, dua di Miri dan seorang lagi di Betong.

Beliau bersama tenaga pengajar dan beberapa pengusaha tempatan kini gigih memperjuangkan rekaan asli batik Sarawak.

Ia juga selaras dengan kesedaran bahawa keaslian dalam coraknya yang mengetengahkan motif etnik seharusnya dipelihara supaya dapat dihayati dan menjadi simbol kukuhnya jati diri penduduk Sarawak.

“Batik termasuk dalam industri kraf tetapi jika ia dikeluarkan di kilang beratus-ratus meter sehari, ia bukan lagi batik asli walaupun motif coraknya ditiru sebaik mungkin menggunakan ‘digital print’ dan sebagainya. Itu masih bukan hasil kraf asli Sarawak.

“Kami di Kraf Sarawak berperanan untuk mencari jalan bagaimana hendak menarik minat pengusaha dan orang ramai untuk menerapkan penggunaan batik dalam kehidupan seharian,” kata Azran sambil menambah produk yang dihasilkan adalah mengikut peredaran semasa dan permintaan.

Beliau turut berkata batik sarung mungkin sudah tidak mendapat sambutan selaras dengan peredaran masa dan tumpuan kini lebih kepada pakaian termasuk pakaian lelaki dan wanita di samping produk kraf seperti beg dan alas meja.

PENYELIDIKAN RAPI

Tony Rantai anak Roti, Ketua Unit Rekaan Kraf Sarawak, berkata pihaknya perlu membuat penyelidikan rapi bagi setiap reka bentuk baru yang hendak diperkenalkan iaitu dengan meneliti hasil kraf tradisional yang lain untuk memastikan keasliannya.

Katanya, ilham reka bentuk boleh didaptasi daripada hasil seni pelbagai etnik yang dapat dilihat dalam kehidupan seharian.

Antaranya reka bentuk parang ilang, terabai (perisai), ketapu tunjang (penutup kepala), pua kumbu (selimut tradisional), sape (alat muzik), beg rotan, tikar bemban, tudung saji, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Menurutnya, motif tersebut diadaptasikan dalam reka corak batik secara percubaan terlebih dahulu sebelum dijadikan reka bentuk selaras dengan cita rasa semasa penggemar batik.

Katanya, setiap rekaan baru, prototaip, tempahan dari luar atau jemputan promosi yang sampai kepada pihak Kraf Sarawak kemudiannya diberi kepada peserta program inkubatornya di Jalan Stadium di sini.

Pada masa ini terdapat dua peserta program yang mengusahakan kerja pembuatan batik di bawah kategori tekstil selain tiga pengusaha kategori hasil rimba yang merangkumi pangusaha aneka kraf, cenderahati dan pembuatan beg.

Bagi penggemar batik asli Sarawak, Tony menasihatkan mereka supaya datang sendiri ke Galeri Pameran Kraf Sarawak di Jalan Stadium di sini yang dibuka kepada orang ramai setiap Isnin hingga Jumaat, daripada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

BANYAK PERMINTAAN

Titek Sandora Haji Apit, 44, yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang pembuatan batik, mengambil peluang yang ditawarkan oleh Kraf Sarawak untuk menjadi peserta program inkubator.

Bengkel yang disediakan di Kraf Sarawak itu dijadikan sebagai tempat pengeluaran utama untuk kedai “Sandora Craft Collection” di Plaza Astana dan diuruskan kakaknya.

Beliau berkata meskipun pengeluaran harian tidak besar namun keunikan dan keaslian hasil tangan menjadikan permintaan untuk batik Sarawak masih tetap ada.

Dalam sehari, beliau mungkin dapat menyiapkan hanya satu atau dua bidang (dua setengah ela) kain batik mengikut kerumitan hasil rekaan yang dikehendaki pelanggan.

Ini adalah untuk menjaga mutunya tetapi beliau boleh meningkatkan hasil pengeluaran jika ada pelanggan yang mahukan dalam kuantiti yang banyak.

Pengunjung yang datang ke Kraf Sarawak juga boleh menempah pakaian dan ia boleh disiapkan dalam tempoh yang singkat selaras dengan kerjasama erat dengan seorang lagi pengusaha menjahit pakaian dengan pusat kraf itu.

Seorang lagi peserta inkubator, Norhalis Isa Md Ali, 29, berkata program inkubator banyak membantu beliau menceburi bidang yang mempunyai banyak potensi.

Bekas pelajar Institut Kraf Negara itu berkata, batik Sarawak kini menjadi satu daripada cederahati pengunjung ke Sarawak, walaupun ia sebenarnya dipopularkan oleh pengusaha “bukan batik sebenar”, yang mengambil kesempatan daripada kunjungan pelawat dari jauh yang menggemari jenama “Sarawak”.

Menurutnya, pada masa ini beliau menjual hasil keluarannya secara kecil-kecilan kepada yang berminat atau yang berkunjung ke Kraf Sarawak.

Penggemar batik, Suzana Chen, 40-an, berkata meskipun batik Kelantan dan Terengganu menjadi pilihan ramai penggemar batik di Malaysia, namun Sarawak yang kaya dengan kepelbagai etnik dilihat memiliki lebih banyak motif batik yang menarik untuk memberi saingan.

Beliau berkata kelebihan itu sudah pasti dapat memberi saingan sengit kepada batik dari pantai timur selain melengkapkan satu lagi barangan yang boleh dijadikan ole-ole buat pengunjung yang datang ke Sarawak.

Comments (No)

Leave a Reply