30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, January 21, 2021

Bauksit: MB mahu SPRM siasat ketelusan penguatkuasa

bauksit-terengganu

Kesal dan kecewa pihak berkuasa masih gagal menangani aktiviti bauksit sekitar Kemaman, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat ketelusan pegawai penguat kuasa terbabit.

Katanya, kerajaan Terengganu tidak pernah membenarkan perlombongan bauksit di negeri itu.

“Saya cukup hairan bila penguatkuasaan dilakukan 24 jam tetapi masalah ini tak dapat diselesaikan dan ada tempat simpanan sementara yang dikesan di atas tanah milik kerajaan. Kenapa tindakan tidak diambil oleh pegawai? Adakah mereka cuai dalam melakukan tugas?, katanya.

Ahmad Razif menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan penguat kuasa yang tidak ada integriti yang menjadi tali barut pengusaha bauksit.

“Saya minta SPRM siasat dan tangkap mana-mana pegawai mahupun penguat kuasa yang terlibat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Felda Neram 1 yang terjejas akibat aktiviti bauksit di Kemaman, Ahad.

Ahmad Razif berkata, siasatan yang boleh dilakukan SPRM termasuklah ketirisan maklumat operasi serta integriti penguatkuasa dan pegawai sama ada yang disogok wang oleh pengusaha bauksit.

Bagi membuktikan ketegasannya beliau mengarahkan pihak Konsortium Perkapalan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) di bawah Terengganu Incorporated untuk merujuk kepada penasihat undang-undang bagi menghentikan operasi mengeksport bauksit di Pelabuhan Kemaman.

“Saya nak KPKSB  Terengganu Incorporated dapatkan nasihat undang-undang supaya aktiviti eksport ini dapat dihentikan segera dan kalau boleh esok pun kami nak tutup aktiviti bauksit melalui pelabuhan ini sebab ia menyusahkan banyak pihak terutamanya penduduk di daerah ini.

“Saya juga mahu Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu supaya menghantar surat bantahan kepada PTG Pahang yang mengeluarkan surat bagi membenarkan pengusaha bauksit melalui jalan di Felda Neram dari Bukit Goh, Pahang,” katanya.

Ahmad Razif berkata, pihaknya mahu penguatkuasaan dan operasi bersepadu terus dilakukan oleh pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

“Sekarang ini, kami difahamkan kerajaan pusat melalui keputusan Kabinet telah mengeluarkan surat penangguhan terhadap pengusaha bauksit di Pahang supaya ditangguhkan selama tiga bulan untuk dikaji dan dilihat semula sama ada diputuskan untuk dihentikan,” katanya.

Keluasan kawasan bauksit Terengganu ialah 9,935 ekar meliputi kawasan Neram, Jabor dan Perasing, ada di antaranya bauksit milik persendirian, tabung amanah warisan dan milik kerajaan.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.