Bedah Siasat Dapati Budak OKU Didera, Tiga Ahli Keluarga Ditahan - pakdin.my

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga individu termasuk ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki kurang upaya (OKU) yang ditemukan mati di bilik air rumah mereka di Endau, Mersing, petang Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat pada Khamis berkata turut ditahan ialah abang kepada bapa tiri kanak-kanak itu.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka ditahan pada 4 petang Khamis di sekitar Endau selepas laporan bedah siasat kanak-kanak 11 tahun itu mendapati ada unsur penderaan.

“Hasil bedah siasat mendapati ada kesan penderaan pada anggota badan mangsa. Justeru itu, mereka disyaki terlibat dalam membuat penyeksaan terhadap mangsa,” kata beliau dalam kenyataan, di sini, Khamis.

Kes itu kini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, kata Kamarul Zaman.

Pada kejadian petang Rabu, Mohamad Roshamnudin Abdullah didakwa ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kakinya dihempap tong air di bilik air rumahnya oleh ibunya.

Kanak-kanak itu yang dibawa ke Klinik Kesihatan Endau disahkan telah meninggal dunia.

Pemeriksaan oleh doktor di klinik itu mendapati mangsa mempunyai kesan melepuh seperti terkena benda panas dipercayai api rokok, kata Kamarul Zaman.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Kamarul Zaman berkata pihaknya akan memohon perintah reman bagi ketiga-tiga suspek pada Jumaat.


Berita sebelum

KanakKanak OKU Maut Dihempap Tong Air

JOHOR BAHRU: Budak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun ditemui dalam keadaan dihempap tong air di bilik air rumahnya di Bukit Tekedai, Endau, di sini, 4.30 petang semalam sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Endau.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian itu disedari ibunya selepas mendapati anaknya itu terlalu lama di dalam bilik air.

Katanya, ketika masuk ke dalam bilik air, dia menemui anaknya dalam keadaan terbaring.

“Pada masa sama tong air menghempap kaki anaknya di dalam bilik air berkenaan,” katanya.

Katanya, ketika ditemui, kanak-kanak itu masih hidup sebelum diangkat ibunya dan kejadian itu dimaklumkan kepada bapanya.

“Sebaik pulang ke rumah, suami isteri itu membawa anak lelaki mereka ke Klinik Kesihatan Endau di sini, dengan menaiki kereta,” katanya.

Katanya, pembantu perubatan mengesahkan anak lelaki pasangan berkenaan sudah meninggal dunia.

“Siasatan awal di Klinik Kesihatan Endau mendapati badan si mati ada kesan melepuh seperti kudis buta atau terkena benda panas seperti api rokok,” katanya.

Katanya, berikutan itu mayat kanak-kanak terbabit di bawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk bedah siasat.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

UTAMABERITABedah Siasat Dapati Budak OKU Didera, Tiga Ahli Keluarga Ditahan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium