BEERSIH 2.0 – Masih Pertubuhan Haram Walaupun Selepas Menghadap Agong - pakdin.my

PUTRAJAYA: Bersih masih sebuah pertubuhan haram walaupun selepas pemimpinnya menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memohon kebenaran mengadakan perhimpunan Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram juga berdasarkan nasihat Pejabat Peguam Negara mengikut undang-undang.

Walaupun Bersih dibenarkan mengadakan perhimpunan di stadium, mereka masih perlu mendapatkan permit daripada polis, katanya.

“Biar mereka mohon dulu. Biar polis pertimbangkan permohonan itu. Jadi jika mereka segera memohon, lebih cepat polis memproses (dan membuat keputusan)mengenai masa dan tempatnya,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Pengerusi penganjur perhimpunan 9 Julai itu Datuk S.Ambiga berkata mereka memutuskan perhimpunan itu akan diadakan di dalam sebuah stadium.

Hari ini, Ambiga berkata mereka merancang untuk mengadakan perhimpunan itu di Stadium Merdeka dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama bagi memastikan perhimpunan itu berjalan dengan aman dan lancar.

Ketika ditanya berhubung kesediaan kerajaan membenarkan mereka mengadakan perhimpunan itu di stadium, Hishammuddin berkata perkara itu adalah berkenaan keselamatan.

Beliau juga berkata keputusan untuk mengadakan perhimpunan di stadium juga sesuatu yang rasional.

“Tetapi jangan pula letak syarat-syarat lain seperti tidak mahu pohon permit, nak pilih stadium dan sebagainya kerana itu kita tak boleh pertimbangkan sekarang kerana ia mesti berdasarkan permohonan mereka,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan itu supaya melihat apa yang berlaku secara positif kecuali jika mempunyai motif tersembunyi untuk menimbulkan masalah.

“Yang penting sekarang kita perlu melihat masa depan. Bagi mereka yang mengatakan bahawa mereka mahukan pilihan raya yang bebas dan adil perlu membuktikan bahawa mereka bertanggungjawab.

“Sebelum ini mereka berkata mahu menyuarakannya dan kini kita telah memberikan tempat dan peluang di stadium, jadi nasihat saya kepada semua orang, perlu bertanggungjawab dan bekerja dalam lingkungan undang-undang,” katanya.

UTAMABERITABEERSIH 2.0 - Masih Pertubuhan Haram Walaupun Selepas Menghadap Agong

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium