26.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 5, 2020

Bekalan kurang berikutan musim hujan punca barang naik

Petani menunjukkan sayur yang rosak akibat hujan lebat berterusan.
Petani menunjukkan sayur yang rosak akibat hujan lebat berterusan.

Setiap hujung tahun dan awal tahun, harga barang basah akan naik berikutan musim tengkujuh yang menyebabkan bekalan bahan-bahan itu berkurangan.

Sehubungan itu desas-desus mengaitkan kenaikan harga barang keperluan harian, terutama barang basah sejak akhir-akhir ini disebabkan rasionalisasi subsidi sebagai faktor utama kenaikan harga bahan mentah didapati kurang tepat.

Sebaliknya, faktor cuaca dan bekalan turut mempengaruhi harga barang itu memandangkan pada musim berkenaan nelayan tidak dapat keluar ke laut, manakala bagi petani, banyak sayuran mereka rosak berikutan hujan lebat dan banjir.

“Selalunya begitulah, sebab musim hujan kan, macam sawi dan kangkung, dua minggu lepas, harga sekilogram RM7, semua kedai sini pun jual lebih kurang sama harga. Hari ini, cuma RM1.50 sekilo bagi kedua-dua jenis sayur itu,” kata peniaga sayur di Pasar Borong Selayang, Milhan Mohd Yussoff, 21.

Peniaga ikan di pasar itu, Oi Chee Yong, 35, pula berkata bekalan ikan yang diperoleh daripada pembekal tempatan menunjukkan kemerosotan sejak Disember lalu.

“Sekarang harga ikan terpaksa naik RM2 sekilogram sebab kami beli mahal, jadi macam mana nak jual murah. Udang laut pun kami jual RM42 untuk sekilogram berbanding dulu RM39,” katanya.

“Kami jual mahal pun susah juga, tak ada orang nak beli. Mereka hanya tanya harga. Pembeli pandai…Jika mahal, mereka tak beli dan cari alternatif lain,” katanya.
Perkara itu dipersetujui peniaga ikan, Tee Moi, 60, yang mengakui harga ikan termasuk ikan yang sering ‘menjadi pilihan’ pada Tahun Baharu Cina seperti kerapu, senangin dan bawal putih mengalami kenaikan harga RM2 sekilogram.

“Hari ini saya jual ikan senangin pada harga RM26 sekilogram, berbanding RM24 sebelum musim hujan. Udang laut pula saya dah tak ambil bekalan sebab nak jual RM40 siapa mahu beli?,” katanya.

Ini dapat dilihat dengan harga tomato sebagai contohnya, pada dua bulan lepas hanya RM1.80 sekilo, tetapi hari ini harganya di pasar basah mencapai RM4.60 sekilo.

Peniaga sayur di Pasar Sentul di sini, G. Sivalingam, 47, berkata harga sayur meningkat terutama tomato naik lebih dua kali ganda berbanding November lalu.

“Itu pun susah nak dapat untung. Berniaga sayur, kami tak boleh simpan stok lama. Paling lama tiga hari dan selepas itu mahu atau tidak kami kena jual pukal, daripada busuk dan terpaksa buang,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga yang tidak menafikan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan seperti kenaikan harga petrol turut mempengaruhi harga barang basah, seperti Ramlah Majid, 56, yang menganggap kenaikan harga petrol merupakan penyebab utama kenaikan kebanyakan harga barang basah.

“Dah naik petrol, semestinya naik kos operasi. Pembekal dan peniaga tak boleh disalahkan dalam hal ini, sebab mereka pun perlu tanggung kos,” kata usahawan itu yang ditemui membeli barang basah di Pasar Borong Selayang.

Turut mempunyai tanggapan sama, peniaga nasi lemak, Norseha Didok, 43, yang berharap agar sebarang kenaikan harga barang asas yang boleh menyumbang ke atas kos operasi peniaga dikaji dengan teliti oleh kerajaan sebelum dinaikkan.

“Susah sikit, macam saya jual nasi lemak, nak naik harga nanti pembeli pula lari, kalau tak naik, tak ada pula untung,” katanya.

Berita Berkaitan

Pengguna media sosial diminta lapor akaun palsu

Orang ramai diminta berwaspada dan mengambil tindakan terhadap kewujudan akaun palsu yang berleluasa di...

Dr Mahathir sedia jadi saksi kes saman Mohamed Azmin

Tak perlulah Dey.... orang dah tahu niat sebenar untuk mendapatkan semula pengaruh dan sokongan...

10 pengundi Gombak saman Azmin Ali

Seramai 10 pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Datuk Seri Mohamed...

Cap palsu: Beli tunai kereta, motosikal mewah

Tiga lagi anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam...

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

00:01:14

[Video] BN dan UMNO akan pantau perlaksanaan skim i-Sinar tidak rumit dan menyusahkan rakyat

Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.. Seperti yang dimaklum Menteri Kewangan petang tadi dalam Dewan Rakyat, dia...