Benarkan Hudud Jika Rakyat Mahu Tapi Mestilah Dengan Persetujuan PR – Khalid Samad - pakdin.my

PAS Selangor menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menyokong pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dan Terengganu jika itu adalah hasrat rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Timbalan Pesuruhjayanya, Khalid Samad berkata, jika satu referendum mengenai perkara itu diadakan dan keputusan menunjukkan bahawa rakyat menyokong, maka ia harus dilaksanakan.

Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau juga berkata, PAS tidak akan meneruskan niat untuk melaksanakan undang-undang itu tanpa persetujuan daripada DAP dan PKR.

Namun begitu, kedua-dua parti tersebut juga perlu memahami hasrat rakyat.

“PAS adalah sebuah parti Islam dan pelaksanaan hudud akan sentiasa menjadi topik yang sering dibahaskan.

“Tetapi ia bukanlah sesuatu yang kita akan laksanakan tanpa persetujuan rakan-rakan kami dalam Pakatan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat bahawa Kelantan akan meneruskan rancangan untuk menubuhkan sebuah negara Islam, sama ada menerima sokongan rakan-rakan gabungan ataupun tidak, Khalid berkata, pemimpin itu mungkin telah membuat satu kenyataan umum yang disalah tafsir oleh media.

“Saya tidak begitu tahu bagaimana cara beliau berkata mengenainya namun dia sememangnya berkata bahawa Kelantan tidak dapat melaksanakan hukum hudud kerana bantahan daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jika Perdana Menteri sekarang tidak menarik balik surat itu, maka surat Dr Mahathir masih diguna pakai kerana ia telah dihantar dalam kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, hukum hudud bukanlah satu isu kerana ia tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang hudud boleh digubal tetapi ia tidak boleh dikuatkuasakan. Hal ini kerana perlembagaan negeri tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu.

Beliau berkata, walaupun mungkin PAS dan Umno mempunyai undang-undang hudud dalam agenda mereka, mereka tidak boleh meneruskannya tanpa persetujuan parti lain dalam gabungan masing-masing.

“PAS mahu tetapi mereka tidak mampu untuk menguatkuasakannya, manakala UMNO mahu tetapi bukan sekarang,” katanya.

UTAMABERITABenarkan Hudud Jika Rakyat Mahu Tapi Mestilah Dengan Persetujuan PR - Khalid...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium