“Benarkan parlimen bersidang dahulu sebelum buat pemilihan UMNO” – Ahmad Shabery sindir KJ

Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menyindir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang menggesa agar diadakan Pemilihan UMNO sebelum  Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Walaupun beliau bersetuju dalam beberapa perkara yang dibangkitkan Khairy tetapi beberapa perkara perlu diselesaikan dahulu yang juga berdasarkan data dan sains.

Banyak yang saya setuju dengan KJ. Kecuali beberapa hal. Semua berasas data dan sains. Pemilihan UMNO tidak boleh ditangguh lepas PRU15 kerana tak tahu bila PRU-15 diadakan. Paling lewat tahun 2023. Takkan hendak tangguh beberapa kali lagi? Ini data dan sains. Saya setuju.”

Menurut Ahmad Shabery, beliau bersetuju dengan pandangan Khairy iaitu jika pemilihan dibuat selepas PRU tidak menjamin UMNO semakin kuat. Buktinya, UMNO kalah PRU-14 walaupun tidak ada pemilihan sebelum itu. “Inipun data dan sains. Saya setuju.”

Namun Ahmad Shabery melontarkan persoalan menurut sains dan data, bagaimana hendak menjamin mesyuarat agung di peringkat cawangan lebih selamat daripada sidang Parlimen yang digantung fungsinya? Ini kerana UMNO mempunyai lebih 21,000 Cawangan dan 191 Bahagian di seluruh negara.

Dalam sistem UMNO, pemilihan mesti bermula dengan pemilihan di peringkat cawangan. Banyak cawangan keahliannya sekitar 500 orang. Di Johor ada cawangan melebihi 1000 ahli. Manakala di Sabah cawangan terbesar dalam Bahagian Libaran ada sampai 2700 orang ahli. Semua layak mengundi.

Di peringkat Bahagian, perwakilan antara 700 – 2000 orang. Bergantung saiz ahli dan cawangan. Di Sabah, ramai perwakilan kena bergerak sehari sebelum pemilihan, dari kawasan pendalaman dan pulau-pulau. Jumlah perwakilan layak mengundi keseluruhannya 150,000 orang. Mereka juga akan mengundi untuk kepimpinan Pusat.

Jika diadakan undi dalam talian yang juga masih belum ada sebarang peraturan malah jika wujud sebarang aduan, UMNO boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ada pemilihan ada kempen. Dalam suasana darurat pasti mencabar. Macam hendak buat kenduri kendara. Undi dalam talian belum ada peraturan. Kalau ada komplen, UMNO boleh diambil tindakan undang-undang.”

Beliau mempersoal jika hendak dibuat pemilihan pada tahun ini maka ia mesti bermula bulan Mei di peringkat cawangan. Pemilihan di peringkat Bahagian pula sekitar dua bulan selepas pemilihan cawangan dan kedua-duanya melibatkan jumlah ahli yang ramai dan SOP perlu dipantau rapi bagi mengelakkan dikompaun kerana negara masih dalam perintah darurat.

Masih dalam tempoh darurat. Banyak cawangan dan Bahagian seluruh negara tidak ada dewan besar untuk penjarakan. Kalau pemilihan tidak boleh sekadar cukup korum. Kalau tersalah langgar SOP kena kompaun 10K. Macam kes Neelofa, banyak siasatan akan dibuat.”

Dengan jumlah ahli yang sebegitu ramai di seluruh negara tentunya ia lebih rumit untuk mengendalikan berbanding Sidang Parlimen yang sehingga kini masih ditangguhkan walaupun Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sendiri telah memperkenan ia dilaksanakan ketika darurat.

Parlimen yang hanya 220 anggota tidak boleh bersidang kerana data dan sains kata ramai MP kita yang tua-tua. Dalam UMNO, terutama di akar umbi lebih ramai yang tua-tua. Tidak boleh larang kalau mereka hendak turun mengundi. Hampir semua belum divaksin.

Namun, jika pemilihan hendak dibuat juga seperti digesa Khairy, Ahmad Shabery menyarankan agar Menteri-menteri Kabinet termasuk Khairy sendiri boleh menasihati kerajaan untuk mengumumkan penarikan darurat, membenarkan Sidang Parlimen dijalankan, membatalkan kompaun dan isytihar semuanya telah selamat agar Pemilihan UMNO dapat segera dilaksanakan.

Mungkin atas pertimbangan ini rakan-rakan dalam kabinet boleh bantu supaya kerajaan segera tarik balik darurat, tarik balik kompaun 10K dan isytihar semua sudah selamat. Parlimen mesti jadi contoh dan bersidang segera.”

Beliau menamatkan lontaran terkininya di Facebook dengan menyindir ringkas mengenai “penghayatan demokrasi” yang sepatutnya dihayati terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum meminta rakyat bawahan menghayatinya.

Demokrasi mesti dihayati di peringkat atas sebelum mintak rakyat bawahan melaksanakannya.

Semoga Khairy boleh memahami kenapa pemilihan masih tidak boleh dilakukan apabila negara masih darurat dan pergerakan rakyatnya masih dihadkan semata-mata berdasarkan data dan sains yang dicanang sendiri oleh kerajaan.

Selagi kerajaan takut berdepan dengan Sidang Parlimen maka selagi itulah apa-apa demokrasi akan tergantung sepertimana Sidang Parlimennya diperlakukan.

Berkaitan