Beraya dengan sut lumba

Ketika umat Islam memakai baju Melayu bagi menyambut hari raya, lain pula dilalui pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang perlu menyarung sut perlumbaan untuk menghadapi Grand Prix (GP) Perancis pada Ahad ini.

Pelumba NTS RW Racing GP akan beraksi pada pusingan kelima Kejohanan Motosikal Dunia itu yang berlangsung tiga hari selepas 1 Syawal namun dia perlu turun pada sesi latihan bebas bermula Jumaat ini.

Meskipun berat hatinya, Hafizh mengakui perlu cekal kerana itu adalah pilihan kariernya, malah sudah beberapa kali dia terpaksa beraya di luar negara kerana komitmen dengan perlumbaan.

“Jika tanya saya, memang tak ada yang seronok pun beraya di luar negara sebab tak ada keluarga bersama dengan saya.

“Nikmat beraya paling seronok sememangnya di Malaysia kerana selain dapat bersama keluarga, kita juga dapat merasai juadah raya seperti ketupat dan rendang,” katanya.

Hafizh berkata, seperti pusingan perlumbaan sebelum ini, dia akan terusa berusaha mengutip mata selepas masih belum mampu melakukannya pada empat pusingan perlumbaan sebelum ini.

Pada pusingan pertama di GP Qatar, Hafizh gagal menamatkan perlumbaan manakala pusingan kedua di GP Doha dia meraih penamat ke-21.

Prestasinya terus positif apabila meraih penamat ke-18 di GP Portugal dan ke-17 di GP Sepanyol.

“Saya akan sentiasa buat yang terbaik untuk rakyat Malaysia yang menyokong karier saya,” katanya.

Berkaitan