26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 1, 2020

#BERSIH4: Maria enggan dedah derma RM2.4 juta

bersih-tidor-atas-jalan

Penganjur Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah enggan mendedahkan kepada polis mengenai akaun derma bernilai RM2.4 juta yang diperoleh pihaknya untuk penganjuran perhimpunan haram itu di ibu negara pada Sabtu dan Ahad lalu.

Maria berkata, beliau mempunyai hak untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan dan bersedia ke mahkamah sekiranya didakwa.

“Sepanjang proses siasatan kami beri kerjasama penuh kepada polis, tetapi kami juga menjalankan hak untuk tidak menjawab semua soalan,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan yang diberikan kepada pihak polis hari ini berhubung perhimpunan Bersih 4.0.

Beliau ditemui berhampiran pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Turut diambil kenyataan ialah enam lagi aktivitis propembangkang yang juga terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu iaitu Timbalan Pengerusi Bersih 4.0, Sarajon Huda Abdul Hassan; Bendahari, Masjaliza Hamzah; Ahli Jawatankuasa, Farhana Halim dan Fadiah Nadwa; Ahli Sekretariat, Mandeep Singh serta aktivis pelajar, Adam Adli.

Kesemua mereka hadir pada pukul 10.30 pagi dengan ditemani 10 peguam antaranya, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya dan Eric Paulsen dan selesai memberi keterangan kira-kira dua jam kemudian.

Siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 120, Seksyen 124C dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyembunyikan rancangan untuk melakukan suatu kesalahan, cuba menimbulkan dan mengganggu gugat demokrasi berparlimen di negara ini serta mengadakan perhimpunan haram. Mandeep turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.


Dalam pada itu, ditanya mengenai tuntutan kos pembersihan berjumlah RM65,000 seperti yang disebut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam, Maria mene­gaskan pihaknya tidak akan membayarnya dan meminta supaya perkara itu dibuktikan di mahkamah.

“Kemukakan bukti, kita akan jawab di mahkamah,” katanya.

Menjawab soalan pemberita mengenai dua wanita yang didakwa memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Maria tidak pasti individu terbabit merupakan peserta perhimpunan itu memandangkan pihaknya tidak dapat mengawal tingkah laku mereka yang terlalu ramai.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya individu terbabit tampil menyerah diri kepada polis untuk siasatan.

“Selaku penganjur, saya bertanggungjawab secara tidak langsung atas perbuatan dua wanita itu dan kesal dengan apa yang berlaku. Saya harap mereka juga dapat mengambil tanggungjawab dan tampil memberi kerjasama kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya akan tetap menghantar bil tuntutan kos pembersihan berjumlah RM65,000 kepada penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0.

“Saya tidak kisah, bil itu tetap akan saya hantar ke Bersih. Dalam tempoh sehari dua ini, kita akan hantar bil kepada penganjur perhimpunan haram itu,” kata beliau.

Berita Berkaitan

Anwar janji lepas jawatan jika gagal tumbangkan PN, kata Pemuda PAN Bukit Bintang

Ketua Pemuda PAN Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Bawazeer mendakwa Anwar Ibrahim berjanji akan melepaskan...

PAS Selangor belum bincang agihan kerusi, nafi tanding 3 Parlimen

PAS Selangor belum mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi di negeri itu termasuk memuktamadkan calon...

Tun Mahathir kempen Kerajaan Perpaduan lagi

Ketika krisis politik melanda negara, nampaknya bekas perdana menteri paling lama, Tun Dr Mahathir...

Agong guna ‘soft power’ selamatkan negara dari ahli politik kata peguam

Kejayaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengemudi negara ketika kerajaan...

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

00:01:14

[Video] BN dan UMNO akan pantau perlaksanaan skim i-Sinar tidak rumit dan menyusahkan rakyat

Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.. Seperti yang dimaklum Menteri Kewangan petang tadi dalam Dewan Rakyat, dia...