Bina terusan dan evaporator selesaikan banjir genang #pakdin.my

Banjir genang di Bukit Changgang, Kuala Langat yang menjejaskan kira-kira 149 keluarga dilaporkan telah surut hampir sepenuhnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, sehingga pukul 6 petang hari ini sebanyak 68 keluarga telah kembali ke rumah masing-masing manakala selebihnya masih di dalam proses membersihkan rumah.

“Banjir genang di kawasan tersebut berjaya diatasi dengan menggunakan inovasi terusan dan evaporator yang dihasilkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

“Terusan ini boleh dibina di kawasan lapang atau menggunakan parit sedia ada yang diperbesarkan saiz dan kedalamannya serta bertujuan untuk mengalirkan air banjir genang ke kawasan yang boleh menakung sebelum disalurkan ke sungai berdekatan apabila air surut.

“Pam air berkapasiti besar turut diperlukan untuk menyedut air banjir genang ke terusan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, inovasi evaporator pula bertujuan untuk mengubah banjir genang daripada fasa air kepada fasa wap di mana pam diperlukan untuk menghasilkan tekanan tinggi selain nozel atau muncung beronggga yang semakin kecil rongga maka semakin halus cecair dihasilkan untuk membentuk wap air.

“Kebaikan evaporator ialah mengurangkan isipadu air banjir genang. Kelemahannya ialah perlahan dari segi mengeringkan banjir genang berbanding kaedah terusan,” katanya – K! ONLINE.

Berkaitan