BN Sarawak Sambut Baik Keputusan Mahkamah #pakdin.my

persempadanan-semula-dun-sarawak

KUCHING — Barisan Nasional (BN) Sarawak melahirkan kesyukuran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menyelesaikan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri ini, hari ini.

Setiausaha BN Sarawak, Datuk Stephan Rundi berkata kerajaan negeri telah menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Kita tidak akan mengganggu keputusan mereka sebagai mematuhi proses undang-undang dan perlembagaan…dan pastinya kami sebagai parti politik mempunyai strategi dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata keputusan itu bermakna Sarawak bakal mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak daripada 71 kepada 82 kerusi, iaitu pertambahan 11 kerusi.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang membatalkan notis cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri oleh suruhanjaya itu.

Berkaitan