BN Tidak Pernah Kecewakan Masyarakat India, Kata Muhyiddin - pakdin.my

Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sejak merdeka 54 tahun lepas, tidak pernah mengecewakan masyarakat India dengan melaksanakan pelbagai perancangan bagi membela nasib mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata menerusi perancangan yang teliti, kerajaan BN berjaya menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat India di negara ini.

“Hanya Barisan Nasional yang berkemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukan pembangkang, kerana mereka hanya bercakaran sesama sendiri, dengan masing-masing memperjuangkan kepentingan masing-masing.”

“Bagaimana mereka (pembangkang) mahu menyelesaikan masalah rakyat, jika mereka tidak mampu menyelesaikan masalah sendiri,” katanya pada majlis sambutan Hari Deepavali Parlimen Pagoh di Bukit Pasir.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno dan anggota Parlimen Pagoh, berkata demikian kepada kira-kira 2,000 orang yang menghadiri majlis berkenaan di Taman Bintang Emas di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun masyarakat India di negara ini hanya antara enam hingga tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, namun kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka.

“Ini adalah kerana masyarakat India juga adalah rakyat Malaysia, dan kerajaan Barisan Nasional berusaha sedaya upaya membela nasib mereka dan menghulurkan pelbagai bantuan kepada mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa di peringkat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu masyarakat India.

Beliau berkata ia bertujuan membincang dan melaksanakan pelbagai rancangan bagi membantu masyarakat India.

Di peringkat Parlimen Pagoh, katanya, BN menghulurkan pelbagai bantuan kepada masyarakat India tempatan seperti pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan kuil.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan bantuan kepada golongan miskin di Parlimen Pagoh, yang terdiri daripada 250 orang dari kaum India, 25 Melayu dan 25 Cina.

UTAMABERITABN Tidak Pernah Kecewakan Masyarakat India, Kata Muhyiddin

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium