23.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 22, 2020

Bung Moktar nafi kata Musa tiada dalam senarai calon UMNO

Pengerusi UMNO Sabah Bung Moktar Radin menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa bekas Ketua Menteri Musa Aman tiada dalam senarai calon UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan.

Mengakui ada memberi kenyataan kepada portal berita berkenaan, Bung Moktar berkata beliau langsung tidak menyentuh mengenai senarai calon atau Musa.

“Itu berita palsu. Kenyataan itu bukan daripada saya, saya tidak pernah membuat kenyataan yang tidak berhala tuju. Itu kenyataan palsu yang sengaja dicipta untuk melaga-lagakan saya dengan Tan Sri Musa dan merosakkan UMNO.

“(Ini) Perbuatan musuh-musuh UMNO yang tidak bertanggungjawab yang ingin melemahkan UMNO daripada pelbagai cara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Antara lain, laporan portal berita itu menyebut Bung Moktar sebagai berkata: “Satu-satunya jalan penyelesaian kemelut politik dalam UMNO adalah menyingkirkan Musa Aman daripada senarai calon UMNO pada PRN Sabah.”

Laporan portal berita itu turut menyebut UMNO tidak mempunyai kaitan dengan kemelut politik Sabah kerana Musa bertindak atas kehendaknya sendiri untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Bung Moktar juga menafikan kenyataan yang memetiknya sebagai berkata kerajaan persekutuan boleh merancang pembangunan di Sabah dan tugas tersebut akan dilakukan oleh agensi persekutuan di Sabah sekiranya UMNO berjaya menawan kembali negeri itu.

“Itu berita palsu, saya tidak pernah cakap. Apa yang saya perjelaskan ialah antara tawaran baharu kami (UMNO Sabah) ialah projek pembangunan di Sabah akan dilaksanakan oleh negeri Sabah. (Kenyataan) diputar belit,” katanya.

Sabah bakal menghadapi PRN selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa dibubarkan.

Pembubaran DUN itu diumumkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas Musa mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Musa merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibunga, satu-satunya kerusi DUN Sabah yang disandang UMNO.






Berita Berkaitan

UMNO Gesa Gencatan Politik, Fokus Sepenuhnya Agenda Bantu Rakyat – Ahmad Zahid

Umno hari ini mengumumkan “gencatan politik” bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat...

Kamulah punca sistem negara ini rosak, kata Ramkarpal kepada Mahathir

Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP Ramkarpal Singh menyatakan kekesalannya bekerjasama dengan Dr Mahathir...

Azmin dan Hamzah Zainudin katak lompat yang gila kuasa, kata MT Umno

Anggota Majlis Tertinggi Umno menyindir dua pemimpin kanan Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali...

Pertemuan Pemimpin PN Gagal Hasilkan Keputusan

Perbincangan wakil tiga parti utama kerajaan Perikatan Nasional – UMNO, PAS dan PBBM, sabtu...

Komen

..

Dah memang cara Mahathir dari dulu, Najib beritahu Ram Karpal

Ahli Parlimen DAP Ramkarpal kata dia kesal pernah kerjasama dengan Tun Mahathir. Ramkarpal juga dakwa Tun Mahathir telah musnahkan sistem kehakiman untuk penjarakan ramai orang...
993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,360PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan