Thursday - July 29, 2021 @ 23:04
BERITACagamas terbit Kertas Komersil Islam bernilai RM300 juta

Cagamas terbit Kertas Komersil Islam bernilai RM300 juta

Cagamas Bhd, perbadanan gadai janji negara, mengumumkan terbitan Kertas Komersil Islam (ICPs) tiga bulan bernilai RM300 juta.

Kertas ICPs ini akan diterbitkan di bawah struktur Murabahah Komoditi Islam, dan hasil daripada terbitan itu akan akan digunakan untuk pembelian aset patuh Syariah.

“Kami gembira syarikat dapat memuktamadkan terbitan terbaru ini yang menyaksikan minat berterusan dalam kertas jangka pendek kami, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM),” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata prospek pertumbuhan global kekal tidak menentu susulan kebimbangan bahawa pemulihan ekonomi menunjukkan tanda-tanda goyah di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 berikutan kemunculan varian baharu yang semakin meningkatkan ketakutan terhadap kawalan pergerakan.

“Di dalam negara, pelabur terus berhati-hati kerana kekurangan pemangkin kukuh di pasaran ekoran ketidakpastian yang berkisar dengan pandemik COVID-19 dan kemajuan vaksinasi,” kata Chung.

“Kertas ICPs ditetapkan harga pada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur tiga bulan (KLIBOR) ditambah lima mata asas (bps) – atau setara dengan 1.99 peratus berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh harga – dan tebarannya (spread) adalah 23 bps melebihi Bil Perbendaharaan Islam Malaysia,” jelas beliau.

Terbitan baharu ini menjadikan terbitan agregat syarikat untuk tahun ini kepada RM8.45 bilion.

Kertas-kertas berkenaan yang akan ditebus pada nilai nominal penuh mereka apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, kedudukan setara sesamanya, dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat.

Terbitan itu akan disenarai dan didagangkan dalam Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip.

— BERNAMA

 

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here