Campur Tangan Nato Di Libya Ada Kepentingan, Kata Dr Mahathir

Dr Mahathir

Campur tangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam pergolakan di Libya adalah hanya berdasarkan kepada kepentingan negara anggotanya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau ini betul-betul niat rakyat (menjatuhkan kerajaan), itu soal lain.

“Sudah tentu ada di antara rakyat yang tidak bersetuju dengan kerajaan dan mereka minta pertolongan daripada NATO atau Amerika Syarikat dan mereka beri bantuan untuk jatuhkan kerajaan.

“Bagaimanapun, pertolongan itu berdasarkan kepada kepentingan mereka dan bukannya kepentingan rakyat di negara itu,” kata Dr Mahathir ketika diminta mengulas mengenai pergolakan yang berlaku di Libya sekarang.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman penajaan perlumbaan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Bukit Kiara di sini, hari Rabu.

Menurut Dr Mahathir, cara hasutan NATO terhadap rakyat yang memberontak itu akan turut memberi implikasi kepada negara-negara Timur Tengah lain. Ini adalah satu cara yang merbahaya kepada negara-negara lain dan sekiranya pemimpin-pemimpinnya tidak disukai NATO, mereka mungkin akan menghadapi masalah yang sama, tegas beliau.

“Sekarang ini kita nampak ada beberapa negara yang menghadapi masalah…di Yaman, di Bahrain, di Syria. Kalau tidak ada campur tangan NATO, saya percaya tidak akan berjaya pemberontakan,” kata Dr Mahathir yang juga presiden Yayasan Keamanan Global Perdana.

Menurutnya kepentingan utama NATO dalam campur tangan itu adalah berasaskan kepada untuk mendapatkan hasil minyak.

“Pada dasarnya, sebabnya nak dapatkan minyak. Semua negara yang mempunyai minyak, mereka akan campur tangan. Misalnya di Bosnia-Herzegovina dulu, walaupun pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh pihak Serb, apabila mereka campur tangan, mereka tentukan yang mendapat untung ialah Serb,” katanya.

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.