28.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 14, 2021

CEO Zoom dermakan saham RM27.4 bilion miliknya

NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zoom Video Communications Inc, Eric Yuan, mendermakan lebih satu pertiga sahamnya dalam syarikat itu, demikian menurut makluman pasaran.

Yuan mendermakan hampir 18 juta saham dalam firma teknologi persidangan itu minggu lalu.

Makluman itu tidak mendedahkan penerima saham berkenaan, yang dimiliki oleh Grantor Retained Annuity Trust, atau GRAT, yang mana Yuan adalah pemegang amanahnya.

Saham itu bernilai kira-kira AS$6 bilion (RM27.4 bilion), berdasarkan harga penutup Jumaat lalu.

Pemberian itu adalah konsisten dengan ‘amalan perancangan harta biasa’ Yuan, kata jurucakap Zoom dalam satu kenyataan.

Yuan, 51, menyertai sekumpulan hartawan dunia lain yang mendermakan saham mereka kebelakangan ini, termasuk bilionair Hong Kong, Li Ka-shing, yang memberikan sebahagian pegangannya dalam Zoom kepada anaknya yang juga ahli perniagaan, Richard.

Manusia terkaya di dunia, Jeff Bezos, mendermakan saham Amazon.com Inc untuk menyokong ikrar AS$10 bilion yang dibuat tahun lalu bagi menangani perubahan iklim.

Yuan menjadi antara manusia terkaya di dunia apabila permintaan bagi produk utama Zoom melonjak semasa pandemik.

Saham syarikat itu melonjak hampir 400 peratus tahun lalu, namun susut 7.8 peratus pada 2021.

Beliau adalah individu ke-130 terkaya di dunia dengan nilai bersih sebelum saham dipindahkan AS$15.1 bilion (RM62.3 bilion), menurut Bloomberg Billionaires Index, kenaikan sebanyak AS$9.2 bilion (RM38 bilion) sejak Mac tahun lalu.

Syarikat itu juga menjana keuntungan besar kepada pemegang sahamnya, termasuklah Chase Coleman daripada Tiger Global Management dan pelabur Taiwan, Samuel Chen.

Saham Li dalam Zoom pula kini merangkumi satu perlima daripada nilai bersihnya.

Dilahirkan di China, permohonan visa Amerika Syarikat (AS) Yuan ditolak lapan kali sebelum akhirnya berjaya dan beliau berpindah ke Silicon Valley.

Salah seorang kakitangan terawal firma persidangan video pesaing, WebEx Communications, Yuan mengasaskan Zoom pada 2011, mendapat inspirasi sebahagiannya daripada cabaran untuk mengekalkan hubungan jarak jauh semasa beliau berada di kolej.- Bloomberg

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.