CEP gagal ke muka formula terbaik kendali ekonomi negara

KENYATAAN MEDIA
1. Kenyataan Tun Daim Zainuddin yang meminta rakyat memberi tempoh 6 bulan lagi bagi PH melaksanakan janji manifesto PRU-14, bukti bahawa sehingga saat ini PH gagal mentadbir negara sebagaimana sepatutnya.

2. Ini juga bermakna kenyataan Daim, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dalam media Isnin (semalam) sangat bercanggah dengan Janji pimpinan PH dalam kempen PRU-14 iaitu “jika hari ini PH menang PRU, esok PH akan tunaikan janji.”

3. Malah kenyataan itu dengan sendiri menunjukkan CEP gagal berperanan dan mengemukakan formula terbaik mengendalikan ekonomi negara kepada Kerajaan PH.
Apatah lagi setiap kali PH tewas dalam PRK, PH akan tampil membuat pelbagai janji atau alasan kenapa mereka ditolak, sedangkan bulan depan adalah tempoh genap satu tahun PH mentadbir negara.

4. Hakikatnya, rakyat sudah mula menerima kesan daripada kegagalan pentadbiran Kerajaan PH. Mereka sepatutnya segera menyelesaikan pelbagai masalah rakyat berkaitan kenaikan kos sara hidup, kekurangan bantuan kebajikan dan sebagainya. Pelaburan masuk ke negara ini juga seakan tiada malah berlaku pengaliran keluar dana asing daripada negara ini. Jika tempoh enam bulan lagi diperlukan pasti kesan lebih besar pada rakyat dan negara akan berlaku.

5. Selepas 9 Mei 2018, tidak banyak janji yang berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan PH. Melainkan, melaksanakan semula banyak dasar atau program yang dijalankan oleh Kerajaan BN dahulu yang dikritik hebat oleh PH.

6. Sikap Kerajaan PH yang suka bercakap dolak dalik, daripada berjanji akan tunaikan janji dalam masa sehari, kemudian tukar kepada tidak perlu tunai janji mengambarkan Kerajaan PH adalah kerajaan yang suka memungkiri janji. Kemudian meminta lagi tempoh enam bulan untuk melaksanakannya suatu yang tidak boleh diterima.

7. Pimpinan dan Kerajaan PH diharap menghormati daya intelektual rakyat kerana rakyat sudah bijak dan boleh menilai setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

8. Bayangkan kalau selepas enam bulan nanti, janji-janji itu tidak dapat dilaksanakan, apakah selepas itu PH akan meminta tempoh enam bulan lagi dan enam bulan lagi? Adakah rakyat akan terus ditipu ?

YB DATO DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Tarikh : 16 April 2019