Chong Wei jinakkan Chen Long lagi - pakdin.my

lee chong wei-terbuka china

KUALA LUMPUR – Kurang seminggu selepas muncul juara Siri Super Premier Terbuka China, Datuk Lee Chong Wei meneruskan kecemerlangannya apabila menumpaskan pemain No. 1 dunia, Chen Long buat kali kedua berturut-turut untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Siri Super Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.

Chong Wei, 33, bagaimanapun dipaksa berhempas pulas dan bangkit daripada ketinggalan di set pertama sebelum menang 13-21, 21-19, 21-15 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 1 jam, 26 minit.

Kemenangan ini mencerahkan peluang pemain No. 6 dunia itu untuk merangkul kejuaraan Terbuka Hong Kong buat kali keempat kerana bakal menentang pemain bukan pilihan dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long esok. Angus mara selepas mengejutkan pilihan kelima, Chou Tien Chen dari Taiwan 21-17, 15-21, 21-15.

Sekiranya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir, Chong Wei, juara 2013, 2010 dan 2009 tidak akan berdepan nama-nama besar kerana satu lagi saingan separuh akhir bakal menemukan dua pemain muda, Tian Houwei dari China dan pemain remaja Indonesia, Anthony Grinting.

Ini adalah kemenangan ke-11 yang dilakar Chong Wei ke atas Chen Long daripada 23 pertemuan mereka. Sekiranya pulang bersama kejuaraan di Hong Kong, peluangnya untuk menutup kempen 2015 dalam kelompok empat terbaik dunia pasti cerah.

Sementara itu, cabaran satu wakil negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berakhir awal selepas beregu lelaki utama Malaysia itu tewas mudah 15-21, 12-21 kepada pasangan China, Chai Biao-Hong Wei di suku akhir.

UTAMAChong Wei jinakkan Chen Long lagi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium