Covid-19: Identiti makcik ‘wristband’ dikenal pasti

IDENTITI wanita yang memakai gelang pengesanan kuarantin Covid-19 dalam keadaan s.edang menjamu selera di sebuah medan selera seperti gambar yang tular di media sosial sejak semalam sudah dikenal pasti selain siasatan terhadapnya tindakannya itu masih dijalankan

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, bagaimanapun beliau masih menunggu pengesahan muktamad daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) dalam masa terdekat mengenai maklumat terperinci kejadian sebelum ia dapat diumumkan.

“Kerajaan negeri tidak akan berdiam diri memandangkan ia mempunyai kebarangkalian merebak (jika individu terbabit disahkan positif). Saya masih (perlu) menunggu pengesahan rasmi daripada pihak yang terbabit iaitu JKNP serta polis dan semestinya kita mahukan jawapan secepat mungkin (untuk tindakan susulan).

“Saya tidak mahu mendahului sesiapa (JKNP) namun saya nasihatkan orang ramai yang merasakan pernah berkunjung ke medan selera yang dimaksudkan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menjalani ujian calitan selain kuarantin diri sendiri sekiranya bergejala.

“Semua pihak berkaitan termasuk pemilik premis akan turut dipanggil bagi melihat tindakan yang sewajarnya kepada mereka (selepas maklumat disahkan). Setakat ini saya tidak mahu dedahkan maklumat sedia ada biarpun sebahagiannya sudah dikenal pasti bagi mengelakkan kegusaran masyarakat,” katanya pada sidang media sempena operasi pemindahan gajah jantan liar di Kampung Jalong, Sungai Siput, hari ini.

Terdahulu, gambar wanita terbabit tular di media sosial selepas dikatakan sedang menikmati hidangan di sebuah medan selera yang difahamkan terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh, dalam keadaan memakai gelang kuarantin Covid-19 sekali gus menimbulkan kegusaran serta kecaman warganet.